KEMAMAN: Sepupu kepada tujuh beradik mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, dekat sini Sabtu lalu, meluahkan rasa rindu selepas mereka yang juga rakan sepermainan ‘berpisah’ sejak lima hari lalu.
Iskandar Mahadi, 16, berkata, hubungan dia dan adik-beradiknya dengan enam sepupu mereka yang berusia 18 hingga empat tahun itu erat dan menjadi rutin setiap hari akan berjumpa dan bermain bersama.
“Kami tinggal berjiran, memang setiap petang, selepas solat asar kami akan bermain bersama.
“Saya paling rindu dengan keletah sepupu yang paling kecil iaitu Umaira (Putri Aryana Umaira Karim), setiap petang saya akan bawa dia bersiar-siar sekitar kampung dengan menunggang motosikal, tapi sekarang semuanya dah berubah,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih semalam.
Iskandar berkata, dia terasa sunyi sejak kejadian yang menimpa sepupunya dan berharap seorang lagi sepupu mereka iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14, dan seorang lagi mangsa tragedi, Muhammad Fikri Saliman, 24, ditemukan segera.
Sementara itu, ibu saudaranya, Wana Zahari, 35, berkata, selain Iskandar, beberapa orang lagi saudara sebaya mangsa turut sedih dan sering termenung selepas kejadian itu.
“Mereka nampak lebih diam dan sering bertanya macam mana keadaan sepupu mereka yang belum ditemukan.
“Walaupun pada luarannya mereka kelihatan tenang, namun kita tahu emosi mereka terganggu lebih-lebih lagi setiap kali mayat ditemukan dan dibawa ke sini untuk pengecaman, memang mereka mengalirkan air mata,” katanya. – UTUSAN










