Saya tak kecil hati diminta untuk bertudung - Reen Rahim - Utusan Malaysia

Saya tak kecil hati diminta untuk bertudung – Reen Rahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR :Pelakon, Reen Rahim, 34, mengakui, tidak pernah berkecil hati dengan sebarang pertanyaan mengenai hasratnya untuk mengenakan hijab.

Bahkan, katanya, selama ini soalan itu juga sering diterimanya daripada peminat mahupun pengikut di media sosial terutama setelah dirinya bergelar seorang isteri kini.

“Bagaimanapun, setiap soalan itu saya terima dengan hati yang terbuka. Bagi saya, dalam hidup ini, apa yang Allah SWT susun tiada yang kebetulan. Doakan semoga segenap hati Reen nanti menutup aurat kerana-Nya. Amin,”katanya.

Reen Rahim yang baru-baru ini tular mengenakan hijab ketika menjayakan sesi fotografi jenama Zeeta bagi mempromosikan keluaran terbaharu Perfect Match, mengakui ia merupakan pengalaman pertama diminta untuk bertudung.

“Terus-terang, mula-mula pihak Zeeta bimbang yang saya akan berkecil hati dengan permintaan untuk bertudung bagi menjayakan kempen ini. Tetapi sebenarnya, saya sangat gembira dan menerimanya dengan hati terbuka.

“Sebenarnya, saya ini dah lama menjadi pengguna produk itu sejak 2020 lagi. Masa itu saya menyokong membeli tanpa meminta tajaan. Dipendekkan cerita, pihak mereka tahu saya pengguna setia dan mula berhubung.

“Salah satu sebab saya ingin mewakili jenama ini kerana mahu semua golongan wanita memakainya kerana ia cukup berbaloi digunakan.Mungkin dengan pembabitan saya ini akan ada lebih ramai pengguna yang ingin mencuba,”katanya.

Sementara itu, pengasas Zeeta, Zaiti Noordin berkata, pihaknya selesa untuk memastikan mana-mana selebriti atau artis yang menjadi duta atau wajah promosi jenama mereka harus mengenakan hijab.

Katanya, keputusan itu bukan melawan arus tetapi disifatkan sebagai antara usaha dakwah kecil.

“Mungkin selama ini pilihan artis atau selebriti tidak bertudung lebih diutamakan. Tapi kami sejak dulu lagi, setia dengan prinsip meletakkan wajah atau duta produk semestinya bertudung.

“Sekalipun ada selebriti tidak bertudung, kami meminta jasa baik dan kerjasama mereka untuk sekurang-kurangnya menutup aurat ketika mempromosikan produk.

“Kami pun lega dan gembira dengan persetujuan Reen untuk bertudung untuk kerjasama ini,”katanya.

Kata Zaiti lagi, dalam konteks memberi inspirasi, Zeeta ingin memecah tembok pemikiran wanita berhijab di Malaysia sekali gus memperkasa golongan berkenaan.

“Kami ingin mengubah stereotaip. Jangan ingat wanita bertudung tidak mampu ke depan.

Terdahulu, jenama ini turut pernah menggunakan khidmat artis seperti Nad Zainal dan Fazlina Ahmad Daud.

“Alhamdulillah asbab daripada kerjasama terjalin ada hikmah berharga. Nad dan Fazlina kini seperti diketahui umum juga sudah bertudung.

“Kami sendiri teruja dan terharu apabila mereka diketuk hidayah selepas menunaikan tuntutan tugas untuk berhijab ketika kerjasama terjalin. Hijrah mereka sangat memberi inspirasi kepada wanita di luar sana kerana perubahan sebegitu boleh berlaku sekelip mata dengan izin Allah.

“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menghukum tanpa memahami. Kuasa penampilan artis ini sedikit sebanyak membuka mata dan mengubah perspektif terhadap wanita bertudung termasuk dari segi keterampilan dan kekuatan untuk berjaya dan bahagia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN