Salahuddin mohon letak semula Pernas bawah KPDN

Salahuddin mohon letak semula Pernas bawah KPDN

SALAHUDDIN Ayub (tengah) ketika melancarkan Ekspo Francais Peruncitan dan Francais Antarabangsa Malaysia 2023 (FE MIRF 2023) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. Hadir sama Pengerusi Penganjuran MIRF 2023, Christine Tan (dua dari kiri) dan Presiden MRCA, Datuk Sharan Valiram (kanan). - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berusaha untuk meletakkan semula Perbadanan Nasional Bhd. (Pernas) di bawah kementeriannya bagi memudahkan penyelarasan pengurusan industri francais.

Buat masa ini, akta berkaitan industri francais berada di bawah bidang kuasa KPDN tetapi agensi pelaksana iaitu Pernas berada di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beliau sudah menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal tahun ini bagi memohon meletakkan semula Pernas di bawah kementeriannya untuk memudahkan perkara.

“Saya juga sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri KUSKOP dalam cara yang baik dan masing-masing tidak ada masalah untuk meletakkan Pernas di bawah KPDN.

“Perkara tersebut sudah dibincangkan dalam Kabinet, jadi ia terpulang kepada Kabinet dan Perdana Menteri untuk membuat keputusan.

“Sasaran kami adalah secepat mungkin, kalau boleh dalam tahun ini supaya Pernas boleh kembali kepada matlamat dan objektif asal, ia akan sangat membantu untuk kita terus jadikan bidang francais ini sesuatu yang memberikan kesan langsung kepada usahawan-usahawan di Malaysia.

“KPDN mempunyai agensi yang paling sedikit iaitu Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ekspo Francais Peruncitan dan Francais Antarabangsa Malaysia 2023 (FE MIRF 2023) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, FE MIRF 2023 dijangka mampu menarik pelaburan sejumlah RM120 juta kepada para peruncit dan pemberi francais tempatan.

“Program yang diadakan selama tiga hari ini mempunyai hampir 400 buah gerai pameran dan lebih 200 pempamer, ia menjangkakan kehadiran lebih 15,000 orang pengunjung termasuk bakal-bakal pelabur, para pemilik perniagaan dan pelanggan.

“la berpotensi untuk menghasilkan peningkatan dalam aktiviti perniagaan, transaksi pempamer dan jualan. Dengan pertumbuhan yang signifikan dalam penyertaan oleh para pelabur dan peruncit luar negara seperti Taiwan, Korea, Singapura, Amerika Syarikat, United Kingdom, Vietnam, India dan Australia.

“Para pempamer tempatan juga mempamerkan konsep-konsep francais buatan Malaysia yang inovatif serta mempersembahkan peluang yang menarik kepada para pelabur untuk menyertai pertumbuhan jenama-jenama tempatan. Konsep-konsep ini direka khusus bagi memenuhi permintaan dan cita rasa unik pasaran Malaysia.

“MIRF pasti menjadi platform persaingan kepada perniagaan-perniagaan untuk berhubung dan saya percaya dalam masa tiga hari ini, ia akan membuahkan hasil dan mengujakan kepada semua,” katanya.

Ekspo Francais Peruncitan dan Francais Antarabangsa Malaysia 2023 (FE MIRF 2023) diadakan selama tiga hari bermula hari ini sehingga 9 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya