PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Majlis Media Malaysia dijangka dibentangkan di Parlimen, selewat-lewatnya pada sidang Mac 2024.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, itu antara jaminan yang diputuskan dalam satu mesyuarat berhubung RUU berkenaan yang dipengerusikan Menterinya, Fahmi Fadzil, semalam.
“Inilah komitmen kementerian sebagai salah satu usaha memastikan kebajikan para pengamal media kita terjaga serta informasi yang diterima oleh setiap lapisan masyarakat adalah lebih sahih dan secara tidak langsung memelihara keharmonian negara.
“Kami di Kementerian Komunikasi dan Digital sentiasa menyambut baik amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan kebebasan media terus diangkat dan diperkasa sebagai salah satu usaha menangani segala pembohongan jahat serta berita palsu yang boleh menyebabkan perpecahan dalam masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Perdana Menteri ketika mengumumkan inisiatif ‘Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat’ semalam dilapor berkata, kerajaan akan terus mengangkat dan memperkasa kebebasan media bagi memberikan rakyat berita dan maklumat yang adil dan benar.
Menurut Anwar, usaha itu dapat menangani semua jenis pembohongan jahat dan berita palsu yang boleh menyemai perpecahan dan ketidakpercayaan. – UTUSAN










