Raja-Raja Melayu tidak wajar jadi perbahasan politik - Utusan Malaysia

Raja-Raja Melayu tidak wajar jadi perbahasan politik

Raja-Raja Melayu
ANWAR Ibrahim ditemui pemberita selepas menghadiri Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor dekat Sekinchan di Sabak Bernam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kedudukan Raja-Raja Melayu tidak wajar dijadikan bahan dalam ucapan-ucapan dan perbahasan politik terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos ini.

Pengerusi PH itu berkata, meskipun beliau berpendirian mengelak daripada menggunakan Akta Hasutan dalam hal-hal berkaitan kempen politik, namun menegaskan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu perlu dipertahankan.

“Saya dari segi dasar elakkan penggunaan Akta Hasutan, jadi yang ini bila menyentuh kedudukan raja-raja harus kita pelihara, sanjung dan elak jadi suatu wacana perbahasan politik yang tidak sihat.

“Soal kritik Perdana Menteri, saya tak pernah gunakan itu sebagai suatu alasan (bagi mengenakan tindakan di bawah Akta Hasutan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor, hari ini.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ditahan polis dekat sebuah hotel di ibu negara pada pukul 3 pagi tadi sebelum dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(A) Akta Hasutan 1948.

Kemudian, pada hari ini juga, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen atas kesalahan menghasut berikutan kenyataannya yang didakwa menghina Sultan Selangor berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu ceramahnya di Selayang pada 11 Julai lalu.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya di Mahkamah Sesyen berasingan.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan beliau akan meneliti pendakwaan terhadap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu serta laporan dan alasan daripada Peguam Negara, namun meminta semua pihak menghormati proses mahkamah.

“Polis buat siasatan, peguam negara pun buat pendakwaan, jadi saya tidak mahu ganggu proses dan saya minta akan teliti pendakwaan,

“Yang pertama berkenaan dengan laporan dan kemudian apa alasan peguam negara yang melihat kepada pendakwaan selepas siasatan polis. Jadi, kena hormat proses mahkamah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya