SHAH ALAM: Keputusan melarang pembinaan ladang babi di negeri ini selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah muktamad dan tiada perancangan pembinaan pada masa hadapan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan tersebut diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) serta merta pada Februari lalu.
”Setakat ini muktamad,” katanya ringkas pada sidang akhbar khas di sini, hari ini.
Utusan Malaysia pada dua bulan lalu melaporkan kerajaan negeri memutuskan untuk menghentikan sebarang pemberian lesen baharu bagi aktiviti penternakan babi termasuk cadangan memindahkannya dari Tanjong Sepat ke Bukit Tagar.
Keputusan tersebut dibuat MMKN selepas Sultan Selangor bertitah tidak perkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini susulan insiden pencemaran serius di Tanjong Sepat, Kuala Langat.
Bagaimanapun, Amirudin memaklumkan keputusan muktamad itu tidak menjejaskan bekalan makanan bagi masyarakat bukan Islam terutama ketika sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada Februari lalu.
“Urusan bekalan adalah di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Daripada laporan setakat ini yang saya dapat ketika musim perayaan, bekalannya mencukupi.
Walaupun kita sudah menutup hampir kesemua ladang. Setakat ini memang sudah import (bekalan). Memang muktamad kita patuh dengan titah Sultan Selangor. Memang import sekarang, sebab itu bekalan cukup,” jelasnya. – UTUSAN










