SHAH ALAM: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju reformasi sektor awam apabila memacu pelaksanaan inovasi secara menyeluruh, berfokuskan keberhasilan dan impak langsung kepada rakyat sempena Program Semarakkan Inovasi Sektor Awam 2026.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menegaskan, inovasi dalam sektor awam tidak lagi boleh dilihat sebagai pilihan, sebaliknya menjadi keperluan kritikal dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan berkesan.
Menurut beliau, kejayaan Malaysia meningkat ke tangga ke-34 dalam Indeks Inovasi Global 2025 mencerminkan keberkesanan usaha berterusan termasuk inisiatif strategik yang digerakkan oleh JPA.
“JPA telah melaksanakan pelbagai pendekatan termasuk Program Pembangunan Kepakaran dan Perunding Kerajaan (PRESTIJ) serta memperluaskan pembangunan kepimpinan melalui Program PROSPEK melibatkan pegawai awam pelbagai peringkat,” katanya.
Dalam membuktikan keberkesanan pendekatan tersebut, pelbagai inovasi telah berjaya dilaksanakan termasuk pemendekkan tempoh pendaftaran bantuan mangsa bencana daripada satu jam kepada hanya lima minit melalui sistem e-Penghulu.
Selain itu, reformasi proses permit pembinaan di pihak berkuasa tempatan berjaya mengurangkan tempoh kelulusan daripada 24 bulan kepada seawal 10 hingga 14 bulan, sekali gus meningkatkan pelaburan dan peluang ekonomi di peringkat tempatan.
Program Semarakkan Inovasi Sektor Awam 2026 yang menghimpunkan lebih 800 pemegang taruh menjadi platform penting dalam memperkukuh ekosistem inovasi negara melalui kolaborasi rentas sektor.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, negara mempunyai asas inovasi domestik yang kukuh dan perlu dimanfaatkan melalui pendekatan lebih tangkas termasuk pendigitalan, analitik data raya serta kecerdasan buatan.
Mengulas lanjut, KPPA berkata JPA akan terus memperkukuh agenda pembaharuan melalui Ekosistem Pembaharuan Tadbiran Sektor Awam (EPTSA) sebagai kerangka utama bagi memastikan inovasi dilaksanakan secara sistematik, inklusif dan mampan.
“JPA komited sebagai peneraju pembaharuan dan penggerak perubahan dalam memastikan sektor awam kekal relevan, responsif dan berdaya saing,” katanya. – UTUSAN










