PRN: Polis kenal pasti kumpulan kongsi gelap, NGO berisiko cetus kacau-bilau - Utusan Malaysia

PRN: Polis kenal pasti kumpulan kongsi gelap, NGO berisiko cetus kacau-bilau

KHAW KOK CHIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang telah mengenal pasti kumpulan kongsi gelap serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disokong oleh kongsi gelap yang mungkin boleh mengganggu serta mendatangkan kegusaran awam ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan kelak.

Ketua Polis negeri, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kumpulan-kumpulan kongsi gelap serta NGO berkenaan berada dalam senarai data pihak polis dan kegiatan mereka sentiasa dalam radar pemantauan polis.

”Kita sebenarnya telah kenal pasti tempat atau kawasan yang mana kumpulan kongsi gelap atau NGO (di belakangnya ada kongsi gelap) yang boleh mempengaruhi dan mengganggu perjalanan PRN terutama ketika berkempen di Pulau Pinang nanti.

“Sekarang kita memerhati serta menjalankan tindakan risikan supaya mereka tidak menjadi orang tengah atau menimbulkan kacau-bilau,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurutnya, polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu perjalanan PRN nanti.

“Jika ada sesuatu tindakan oleh mereka, kita akan terus bertindak dan mengambil langkah pencegahan sama ada mereka (kongsi gelap, NGO) aktif atau tidak aktif, kita ada senarai itu semua.

”Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) juga menjalankan Op Cantas iaitu sebelum, semasa dan selepas PRN nanti,” katanya.

Dalam kata itu, Kok Chin berkata, polis turut mengenal pasti sekurang-kurangnya dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu yang berisiko menjadi kawasan panas (hotspot) sepanjang kempen PRN kelak.

Katanya, dua kawasan ‘hotspot’ itu ialah di DUN Permatang Pasir di kawasan Seberang Perai serta DUN Bayan Lepas di bahagian pulau.

”Polis memberi tumpuan di dua kawasan ini dan di kawasan-kawasan lain sepanjang tempoh PRN diadakan nanti.

”Tumpuan di kawasan ‘hotspot’ juga dibuat berdasarkan kepada maklumat yang diperoleh polis dari semasa ke semasa dan setakat ini keadaan terkawal,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, seramai 5,776 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi mengawal keadaan sepanjang PRN Pulau Pinang bagi memastikan perjalanan PRN lancar.

“Secara keseluruhannya di Pulau Pinang terdapat 23 pusat penamaan calon iaitu 14 di kawasan pulau manakala sembilan lagi di bahagian Seberang Perai,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya