Polis tahan pengurus, guru taska disyaki dera kanak-kanak dua tahun - Utusan Malaysia

Polis tahan pengurus, guru taska disyaki dera kanak-kanak dua tahun

YAHAYA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis menahan tiga wanita termasuk dua guru taska bagi membantu siasatan kes dera membabitkan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di sebuah taska di Taman Meru Perdana 2 di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, tangkapan terhadap suspek berusia antara 26 hingga 51 tahun itu dijalankan susulan laporan polis dibuat bapa mangsa pada Khamis lalu.

Katanya, kesemua suspek ditahan pada Jumaat lalu semasa hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk rakaman percakapan.

“Laporan polis dibuat pengadu berusia 31 tahun itu setelah mendapati anak perempuannya mengalami kecederaan di bahagian lengan kiri semasa diambil dari sebuah taska.

“Lelaki terbabit mengesyaki kecederaan anaknya adalah akibat didera guru taska berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan polis telah berjaya menghasilkan tangkapan ke atas seorang pengurus dan dua guru taska bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga Jumaat depan.

“Setakat ini, pihak polis telah menerima lima laporan daripada ibu bapa melibatkan lima mangsa kanak-kanak berusia antara setahun hingga dua tahun yang dijaga taska tersebut.

“Kita sedang melengkapkan siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya