Polis kesan penyeludupan 43,000 liter diesel subsidi - Utusan Malaysia

Polis kesan penyeludupan 43,000 liter diesel subsidi

Diesel
Penyeludupan diesel memaksa kerajaan merasionalisasi subsidi bahan api.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Kewujudan sebuah lori tangki berkapasiti kira-kira 25,000 liter di hadapan sebuah premis di Jalan Sungai Rambai, Jenjarom di sini, yang mencurigakan akhirnya membongkar kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi, baru-baru ini.

Perkara itu dikesan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan Balai Polis Sungai Jarom yang menyerbu premis tersebut kira-kira pukul 3.40 petang, 6 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, empat individu terdiri daripada pemandu lori dan tiga pekerja premis berusia 33 hingga 48 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Polis turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi. Rampasan turut melibatkan 18 buah tangki minyak berisi 1,000 liter setiap tong, satu unit mesin meter penyukat minyak dan sebuah lori,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelas Ahmad Ridhwan, pemeriksaan awal mendapati jumlah keseluruhan minyak diesel dirampas berjumlah 43,000 liter.

“Semakan mendapati dua daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya.

Tambah beliau, kes itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya