Perang 3R berbalas isu bangsa, agama - Utusan Malaysia

Perang 3R berbalas isu bangsa, agama

3R
MOHAMED Azmin Ali berucap pada Jelajah Selangor Baharu PN Kuala Selangor di Jeram, Kuala Selangor, Selangor, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Perang isu bangsa, agama dan institusi raja (3R) bermula pada kempen menjelang penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini apabila Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) saling berbalahan.

‘Peluru’ pertama dilihat dilontarkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng apabila beliau dilaporkan menyebut gelombang hijau perlu disekat daripada bertapak di Pulau Pinang yang disifat akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, menafikan gelombang yang dimaksudkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dan menganggap kenyataan tersebut sebagai satu tindakan provokasi kebangkitan Melayu akan memusnahkan agama lain.

“Ini tuduhan melampau dan tidak boleh dimaafkan. Saya tahu ucapan saya malam ini dirakam oleh pihak berkuasa, saya minta mereka jangan melengah-lengahkan, tangkap Guan Eng anak Tan Sri Lim Kit Siang.

“Ayuh bangkit, jangan jadi penonton, saya minta kita jadi penggerak menghukum mereka dalam PRN akan datang. Saya percaya DAP tak berani datang ke Jeram, saya minta Lim Guan Eng datang ke sini,” katanya ketika berucap pada Jelajah Selangor Baharu PN Kuala Selangor, malam tadi.

Tiada tokong, kuil diroboh

Sementara itu dalam ucapan sama, bekas Menteri Besar Selangor itu turut menegaskan beliau ketika berada dalam kerajaan negeri tidak pernah mengganggu atau merobohkan mana-mana kuil atau tokong.

“Malahan kita bincangkan dengan wakil-wakil mereka macam mana kita boleh pindahkan, kerana ini tempat suci bagi mereka. Kalau kita Islam ada masjid, surau dan madrasah sudah tentu kedudukannya sesuai dengan ibadah dilakukan.

“Islam sebenarnya bukan Madani (dasar Kerajaan Perpaduan) mendidik kita menghormati agama lain dan ini juga termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan, yang kita hendak roboh dan musnahkan bukan tokong dan kuil, sebaliknya DAP dan PH dalam PRN,” tegasnya.

Terdahulu sebuah akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng yang juga bekas Setiausaha Agung DAP memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.

Bagaimanapun, semalam beliau menafikan laporan tersebut dan mendakwa kenyataannya disalah erti apabila merujuknya kepada kes perobohan sebuah kuil pada Julai 2020 di Alor Setar, Kedah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Ismail dalam sidang akhbar kelmarin memberi amaran kepada mana-mana pihak termasuk anggota parti politik supaya tidak memainkan isu 3R dalam kempen menjelang PRN.

Malah beliau memaklumkan polis meletakkan pegawai dan anggota untuk memantau, merakam dan menyiasat ucapan berbaur isu-isu sensitif sedemikian serta akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukannya.

Perdana Menteri dapat sokongan 11 peratus Melayu

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai sokongan orang Melayu sehingga menganggap komuniti itu dan penganut Islam dihina.

“Sebab itu yang kita datang malam-malam buta ini buat apa, sebab kita merasakan umat Melayu dan Islam sekarang diinjak-injak, dihina dalam sebuah kerajaan yang didominasi DAP, bukannya PMX (Perdana Menteri Ke-10), dia jadi PM dengan 11 peratus sokongan orang Melayu.

“Belum pernah dalam sejarah politik Malaysia, Perdana Menteri hanya dapat 11 peratus sokongan Melayu, dia bergantung kepada DAP dan menggambarkan seolah-olah kita pengemis dan pendatang,” tempelaknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN