'Saya lebih tahu pemain saya'

‘Saya lebih tahu pemain saya’

Herry Iman Pierngadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi menegaskan, beliau lebih memahami kemampuan dan keperluan pemain kendaliannya berbanding netizen yang lantang mengkritik keputusan memecahkan gandingan beregu lelaki negara sebelum ini.

Herry berkata, keputusan melakukan percubaan dengan menggandingkan semula pemain tertentu bukan bermaksud beliau mahu memisahkan pasangan sedia ada secara kekal, sebaliknya sebahagian daripada perancangan untuk mencari kombinasi terbaik.

Menurutnya, beliau yang bekerja rapat dengan pemain setiap hari selama hampir dua tahun, lebih mengetahui perkembangan dan kemampuan mereka, justeru setiap keputusan dibuat berdasarkan pertimbangan profesional demi kepentingan pasukan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sebagai jurulatih, mungkin saya lebih tahu daripada netizen di luar sana yang banyak bercakap. Saya berada dalam gelanggang ini hari-hari, berbulan-bulan, sudah hampir dua tahun. Saya lebih tahu.

“Tak mungkin saya buat perkara yang paling teruk. Saya mahu yang terbaik, itu pasti. Tetapi semua ini memerlukan masa dan proses, bukannya sesuatu yang boleh berlaku sekelip mata,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas prestasi beregu lelaki negara dalam tiga kejohanan siri Eropah, termasuk kejayaan meraih gelaran pada Terbuka Arctic dan Terbuka Perancis, selain muncul naib juara di Terbuka Denmark.

Herry menyifatkan pencapaian itu sebagai petanda positif selepas beberapa perubahan gandingan dilakukan, dengan pemain negara mampu memberikan saingan sehingga hari terakhir kejohanan.

Jelasnya, prestasi yang dipamerkan para pemainnya menunjukkan percubaan yang dilakukan sebelum ini mula membuahkan hasil, namun masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu dikenal pasti dan diperbaiki menerusi sesi latihan.

Bercakap tentang kemungkinan melakukan perubahan sekali lagi, Herry memberitahu, keputusan berhubung memecah gandingkan beregu kini hampir dimuktamadkan selepas mengambil kira perancangan awal, pandangan pemain serta perkembangan prestasi mereka di gelanggang.

Katanya, pemain juga menyuarakan hasrat untuk kembali bergandingan dengan pasangan asal masing-masing, sekali gus mendorong pasukan kejurulatihan menilai semula pendekatan yang dilaksanakan sebelum ini.

Malah, Herry turut mempertahankan keputusan menggandingkan semula Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang membuktikan kemampuan mereka apabila mara ke final Kejuaraan Dunia di India, meskipun gagal membawa pulang gelaran.

Dalam masa sama, beliau mengakui kritikan netizen adalah sebahagian daripada risiko yang perlu diterima sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai jurulatih bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Herry berkata, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya terus menerima kritikan kerana perkara paling penting adalah memastikan pemain menunjukkan peningkatan dan pasukan memperoleh hasil yang diharapkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini