Wei Chong-Kai Wun, Sze Fei-Izzuddin jumpa Indonesia di separuh akhir

Wei Chong-Kai Wun, Sze Fei-Izzuddin jumpa Indonesia di separuh akhir

Wei Chong-Kai Wun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Malaysia memiliki dua wakil pada separuh akhir, esok, selepas Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani melepasi halangan masing-masing di peringkat lapan terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Tremblay-en-France, Perancis, hari ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal membabitkan dua beregu lelaki Malaysia berakhir dengan Wei Chong-Kai diberi kemenangan percuma, selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik menarik diri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perlawanan itu hanya berlangsung selama dua minit dengan Wei Chong-Kai Wun mendahului selesa 5-0, sebelum Aaron-Wooi Yik yang merupakan beregu No. 4 dunia mengambil keputusan menarik diri.

Tindakan yang diambil Aaron-Wooi Yik itu, bagaimanapun, masih belum diketahui sama ada ia berpunca daripada kecederaan ataupun masalah kesihatan.

Kemenangan percuma yang diraih Wei Chong-Kai Wun bakal menemukan gandingan No. 11 dunia itu dengan beregu muda Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin pada separuh akhir, esok.

Kedua-dua beregu pernah bertemu pada suku akhir Terbuka Australia, tahun lalu, yang berkesudahan Raymond-Nikolaus menang ke atas Wei Chong-Kai Wun dalam permainan yang diheret sehingga ke rubber set.

Sejak itu, mereka belum pernah bertemu dan Wei Chong-Kai Wun yang melalui tempoh perpisahan seketika sebelum kembali bergandingan pada Terbuka Denmark, minggu lalu, berpeluang menebus kekalahan tersebut.

Sementara itu, beregu profesional negara, Sze Fei-Izzuddin turut mara ke separuh akhir selepas membenam pasangan No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 21-15, 21-18 dalam masa 35 minit.

Kemenangan itu membuka peluang buat Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking No. 5 dunia merapatkan jurang rekod pertemuan dengan beregu Korea Selatan tersebut kepada 3-4.

Pada separuh akhir, beregu No. 2 Malaysia itu akan menghitung pertemuan dengan wakil Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin.

Sze Fei-Izzuddin memiliki kelebihan psikologi jika rekod pertemuan 2-0 ke atas Leo-Daniel diambil kira, tetapi, pertemuan terakhir kedua-dua beregu berlaku di Terbuka Indonesia, dua tahun lalu.

Justeru, pertembungan, esok, dengan mengambil kira prestasi terkini pasangan No. 25 dunia itu, Sze Fei-Izzuddin harus berhati-hati dalam usaha mereka mencari laluan ke perlawanan akhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini