PONTIAN: Bukan sahaja pegawai atau kakitangan kerajaan, swasta, peniaga atau pesara, malah peniaga durian juga turut menjadi mangsa tipu atau ‘scam‘.
Kejadian ini berlaku Selasa lalu (25 Julai) melibatkan seorang peniaga durian, Poh Sea Yen, 28, kerugian RM300 apabila seorang pembeli melarikan 30 kilogram (kg) durian yang dibeli digerainya.
Walaupun sudah lima hari berlaku, namun sehingga kini Sea Yen belum membuat laporan polis kerana beranggapan pembeli itu terlupa untuk membayar harga duriannya.
Menurut Sea Yen, pembeli iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 50-an itu datang ke gerainya kira-kira pukul 1 petang dengan menaiki kereta Mercedes dan bertanyakan harga sekilogram durian yang dijual.
Katanya, lelaki itu mahu membeli durian dalam kuantiti yang banyak dan meminta potongan harga bagi durian tersebut.
“Saya menjual durian kampung pada harga RM10.00 sekilogram dan menjual harga RM9.00 sekilogram kepada lelaki tersebut yang tidak bercakap banyak ketika itu,” katanya ketika ditemui digerainya di hadapan Taman Seri Maju, di sini.
Tambahnya, selepas durian tersebut dimasukkan ke dalam beg plastik dan lelaki tersebut memasukkan ke dalam bonet kereta, dia terus memandunya menuju ke arah Pekan Nanas tanpa membuat bayaran.
“Saya menunggunya sehingga petang mungkin terlupa, tetapi dia tidak datang kembali untuk membuat bayaran,” katanya yang mempunyai anak berusia 5 hingga 10 tahun.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai seorang peniaga buah durian merayu kepada seorang lelaki supaya membayar harga durian sebanyak RM300 yang dibeli dari gerainya di Batu 34, di sini.
Jelas Sea Yen, semenjak berniaga durian selama enam tahun, kejadian tersebut pertama kali berlaku apabila pembeli melarikan diri dan tidak membuat bayaran selepas urusan jual beli dilakukan.
“Saya membeli durian ini dari kebun bapa saudara saya dan menjualnya dengan mendapat sedikit keuntungan,” jelasnya.
Sebelum ini, kejadian sama berlaku pada 28 Mei lalu apabila seorang peniaga durian di Kluang berputih mata setelah durian seberat 80 kg berharga RM2,500 dilarikan seorang pembeli tanpa membayarnya. – UTUSAN










