Pengetua kekal bebas tuduhan amang seksual 4 pelajar - Utusan Malaysia

Pengetua kekal bebas tuduhan amang seksual 4 pelajar

ZAINUREN Mohamed (kiri) bersama barisan peguambelanya di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini sejurus dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada pertuduhan amang seksual fizikal. - Foto: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang melepas dan membebaskan seorang pengetua sekolah menengah, Zainuren Mohamed yang didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajarnya pada 2018.

Hakim, Fathiyah Idris menolak rayuan pendakwaan selepas berpuas hati bahawa Hakim perbicaraan membuat penelitian yang maksimum dan sewajarnya atas semua keterangan saksi pendakwaan.

Ketika prosiding, Fathiyah memberitahu wujud percanggahan dalam pemeriksaan utama dan pemeriksaan balas.

“Wujud alegasi siri kejadian amang seksual, tetapi apabila disoal balas, mangsa mengakui kejadian-kejadian itu tidak berlaku.

“Mahkamah Tinggi menyatakan perkara ini hanya boleh dikenal pasti oleh mangsa sendiri, namun mangsa sendiri tidak dapat memastikan perkara berikut.

“Justeru, berlaku percanggahan keterangan dan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh,” katanya ketika membuat keputusan pada prosiding kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahrezal Mohd. Shukri manakala tertuduh diwakili peguam E. Gnasegaran, Audrey Wee Li Ye dan S. Vikneshwaran.

Zainuren, 59, yang memakai kemeja coklat dilihat memeluk isterinya selepas hakim membuat keputusan tersebut.

Pada Mei tahun lalu, Mahkamah Sesyen membebaskan dan melepaskan Zainuren daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajar lelaki pada 2018.

Sebelum itu, pada Januari 2019, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajarnya berusia 11, 13 dan 14 tahun serta minta dibicarakan bagi pertuduhan berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya