Pembangunan di sembilan Bandar Diraja tidak dihadkan

Pembangunan di sembilan Bandar Diraja tidak dihadkan

NGA Kor Ming melihat pameran Perancangan dan Pembangunan Bandar Diraja di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan bahawa Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan (GPP) Bandar Diraja tidak akan mengehadkan pembangunan di sembilan bandar itu.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, selepas ia dikuatkuasakan kelak, segala pembangunan di Bandar Diraja itu akan lebih tersusun dan sesuai dengan kedudukan bandar itu dalam memelihara institusi dan identiti Diraja.

Beliau berkata, garis panduan itu akan menyediakan perancangan dan pembangunan yang menampilkan ciri, keistimewaan dan keindahan institusi warisan negara.

“Garis panduan itu akan fokus kepada aspek seni bina bangunan, pemilihan warna, landskap, pemuliharaan warisan dan pasak bangunan selain dijadikan tumpuan dan aset pelancongan,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran garis panduan berkenaan di sini, hari ini.

Katanya, garis panduan itu boleh digunakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk merancang dan mengawal pembangunan di kawasan Bandar Diraja dengan tujuan memelihara imej dan identiti Bandar Diraja sebagai lambang kedaulatan negara.

Kor Ming berkata, GPP ini dibentangkan dan diluluskan di Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mei lalu sebagai panduan pembangunan yang merangkumi aspek warisan, identiti, ekonomi, pelancongan.

Menurutnya, GPP ini juga akan dibentangkan di Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-262 untuk mendapat perkenan sebelum diguna pakai dan dikuatkuasakan.

“Garis panduan yang disediakan ini secara tidak langsung memartabatkan institusi raja di negara ini selain dapat mewujudkan peluang ekonomi penduduk melalui aktiviti pelancongan yang bersesuaian dengan budaya setempat,” katanya.

Katanya, GPP turut menggariskan kawalan intensiti pembangunan di kawasan Bandar Diraja, penyediaan komponen utama dan unsur sokongan Bandar Diraja seperti Galeri, Muzium, Dataran dan Arca Diraja serta aspek seni bina bangunan dan landskap, bagi meningkatkan lagi potensi, imej dan identiti Bandar Diraja.

Jelasnya lagi, GPP ini juga akan diterjemahkan ke dalam Rancangan Kawasan Khas dan Pelan Tindakan Khas yang disediakan di semua Bandar Diraja.

GPP ini kelak akan memberi tumpuan kepada sembilan buah Bandar Diraja iaitu Bandar Diraja Arau, Perlis; Bandar Diraja Anak Bukit, Kedah; Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak; Bandar Diraja Klang, Selangor; Bandar Diraja Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Ia juga termasuk Bandar Maharani Bandar Diraja Muar, Johor; Bandar D’Raja Al-Muhammadi Kubang Kerian, Kelantan; Bandar Diraja Kuala Terengganu, Terengganu dan Bandar Diraja Pekan, Pahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya