IPOH: Perak akan menjadi tuan rumah untuk Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 pada tahun ini yang akan diadakan di Tambun.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sambutan yang berlangsung pada 4 Mei depan itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, pelbagai program dan aktiviti diadakan sempena sambutan tersebut termasuk pertunjukan oleh Unit Udara bomba, demonstrasi bom air, perarakan kontinjen perbarisan dan pameran jentera.
“Saya berjaya membawa Hari Anggota Bomba Sedunia ke bandar raya Ipoh di mana sambutannya berlangsung di Tambun dan dirasmikan oleh Ahli Parlimennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada Majlis Hari Raya Aidilfitri DAP Perak bersama media di sini semalam.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, peruntukan RM267 juta untuk perolehan aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seperti diumum sebelum ini diharap dapat membantu meningkatkan keupayaan pasukan itu dalam tugas menyelamat.
Katanya, situasi semasa menunjukkan khidmat pasukan bomba bukan setakat memadam kebakaran, tetapi diperlukan dalam khidmat kemanusiaan dan kes-kes kecemasan lain.
“Sekarang kes buaya pun panggil bomba seperti beberapa hari lepas, angota kita bantu pindahkan buaya di Melaka.
“Itu tidak termasuk lagi ular, sarang tebuan dan sebagainya yang semuanya perlukan khidmat bomba dan kerana itulah tahun ini kita beri peruntukan paling tinggi dalam sejarah kepada pasukan bomba,” ujar beliau. – UTUSAN










