Saya umum peruntukan di Gerik walaupun tiada PRK - Kor Ming - Utusan Malaysia

Saya umum peruntukan di Gerik walaupun tiada PRK – Kor Ming

NGA Kor Ming menyantuni peniaga ketika melawat Pasar Awam Gerik hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Di sebalik kecaman memberikan gula-gula untuk pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baru, Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan RM4.58 juta bagi kawasan Hulu Perak.

Peruntukan itu disalurkan oleh kementeriannya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pelaksanaan 22 buah projek pembangunan kemudahan awam di Lenggong, Gerik serta Pengkalan Hulu.

“Saya bangun awal pagi untuk membawa Sentuhan Kasih KPKT ke Perak utara khususnya kawasan Parlimen Gerik. Gerik tidak ada PRK, tidak ada pilihan raya negeri.

“Tetapi Sentuhan Kasih KPKT tetap sampai juga. Ini terbukti adalah komitmen Kerajaan Madani sentiasa bekerja, berkhidmat, berjasa tak kira musim. Kita akan tetap menjelajah ke seluruh negara,” kata Kor Ming

Beliau berkata demikian selepas melawat Pasar Awam Gerik serta merasmikan pintu gerbang Kampung Baru Batu Dua sempena lawatan kerja Program Sentuhan Kasih KPKT di Gerik hari ini.

Pada minggu lalu, Kor Ming dalam lawatan kerjanya sempena program Sentuhan Kasih KPKT ke Kuala Kubu Bharu telah memperuntukan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor bagi menambah baik infrastruktur awam.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyifatkan tindakan itu sebagai tidak beretika kerana dilihat bercanggah dengan prinsip perlawanan politik yang sama rata dalam pilihan raya, memandangkan DUN tersebut akan diadakan PRK pada 11 Mei depan.

Pemimpin DAP itu bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dengan menyatakan beliau berniat baik, dan tambahan pula sekarang bukan waktu berkempen.

Berkenaan peruntukan RM4.58 juta yang diumumkan menteri itu untuk kawasan hulu Perak, ia meliputi 22 buah projek yang akan dilaksanakan oleh Majlis Daerah Gerik (MDG) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.7 juta untuk tujuh projek yang disalurkan kepada MDG manakala RM2.88 juta untuk 15 projek disalurkan kepada JPKK di daerah Lenggong, Gerik dan Pengkalan Hulu.

Antara projek-projek tersebut ialah menyelenggara dan membaik pulih Pasar Awam Gerik, kerja pembaikan longkang lama berhampiran Gerai Makan MDG Kampung Baru Batu Dua dan menaik taraf tapak Pasar Malam Gerik.

Selain itu adalah kerja menaik taraf dua unit kolam takungan di Skim Perumahan Taman Angsana Fasa 2 dan satu unit di Skim Perumahan Taman Seri Kiara, menyelenggara kolam takungan dalam kawasan pihak berkuasa tempatan dan membina baharu dua unit gerai tidak halal di Medan Selera (Medan Takong 1). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN