TELUK INTAN: Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya dipanggil bagi memperjelaskan isu pengumuman peruntukan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) yang didakwa menyalahi peraturan pilihan raya.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagaimana pun berkata, pengumuman peruntukan itu tidak menyalahi peraturan berkempen kerana ia diumumkan sebelum penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.
Menurutnya, pengumuman tersebut adalah peruntukkan pembangunan di bawah Program Sentuhan Kasih KPKT yang turut diumumkan di beberapa kawasan lain.
“Pengumuman peruntukan tersebut saya buat bukan dalam waktu berkempen. Pengumuman yang saya buat itu tidak salah di sisi undang-undang.
“Ini sangat jelas termaktub dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya, ini memang sah tak salah, kerana semasa pengumuman belum penamaan calon, siapa calon pun saya tak tahu, itu (pengumuman peruntukan) tak ada kaitan langsung (dengan PRK), cuma orang nak bersangka jahat, dia tiada isu lain.
“Saya sepanjang masa menjelajah seluruh negara untuk melaksanakan Program Sentuhan Kasih KPKT. Hari ini datang Teluk Intan saya umum (peruntukan), minggu lepas di Gerik saya umum juga. Setiap tempat saya pergi saya bawa Sentuhan Kasih KPKT,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Madani Muhibah Aidilfitri di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan di sini hari ini.
Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) mendesak SPR supaya mengambil tindakan berikutan pengumuman peruntukan oleh Kor Ming menjelang PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang dikatakan melanggar peraturan pilihan raya.
Sementara itu, Kor Ming mengumumkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM42.6 juta untuk beberapa projek pembangunan di sini.
Antaranya pembinaan jambatan yang menghubungkan Kampung Bahagia ke bandar Teluk Intan yang menelan kos RM35.7 juta.
Beliau juga mengumumkan Kampung Bahagia di sini sebagai Kampung Angkat Madani dengan peruntukan RM2. 5 juta disalurkan khas untuk kampung itu bagi pembinaan pelbagai infrastruktur awam.
“Peruntukkan RM2.5 juta untuk pembaikan dan penyelenggaraan Jambatan Batak Rabit di sini.
“Selain itu, peruntukan Masjid dan Surau Pejabat Menteri Besar Perak 2023 berjumlah RM865,000 manakala peruntukan untuk 24 Masjid Parlimen Teluk Intan 2024 berjumlah RM72,000 di bawah peruntukan wakil rakyat,” katanya. – UTUSAN










