PETALING JAYA: Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak) mengambil langkah penambahbaikan keselamatan berdasarkan keadaan trafik dari Shah Alam/Putrajaya menghala ke Petaling Jaya/Sunway terhadap perubahan lencongan trafik ekoran kajian laluan kontra bermula Isnin lalu.
Litrak dalam kenyataan memaklumkan, ia membabitkan bermula di KM 22 hingga KM 19.2 dari arah Shah Alam/Putrajaya ke Petaling Jaya/Bandar Sunway bermula esok sepanjang Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum dari pukul 4.30 petang hingga 8.30 malam.
Perkembangan itu menyaksikan pengguna dari arah Shah Alam/ Putrajaya akan dilencongkan agar ikut kiri sebelum jambatan dan menggunakan jalan susur untuk ke Petaling Jaya/Sunway.
“Oleh kerana ini adalah kajian laluan kontra, kami akan terus memantau keadaan trafik dan keselamatan secara teliti dan melaksanakan penambahbaikan berdasarkan pemerhatian kami sepanjang tempoh kajian.
“Kesabaran serta kerjasama anda sebagai pengguna lebuh raya sepanjang tempoh ini amat kami hargai. Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi talian bantuan LDP di 03-7494 7333 atau ikuti kami di Twitter @LDPTrafik,” kata kenyataan itu hari ini.
Isnin lalu, Litrak melaksanakan kajian laluan kontra iaitu selaras dengan hasrat meredakan kesesakan lalu lintas yang berlaku pada waktu pencak sebelah petang.
Pelaksanaan tersebut akan bermula di Kilometer (KM) 19.2 selepas Canopy A Plaza Tol Petaling Jaya sehingga KKM 22 dari arah Bandar Sunway ke Putrajaya atau Shah Alam, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).
Kajian yang akan mengambil tempoh masa selama tiga bulan itu akan bermula pada 17 Julai ini dari pukul 4.30 petang sehingga 8.30 malam.
Laluan kontra ini hanya untuk kenderaan ringan Kelas 1 atau pengguna kad Touch ‘n Go sahaja. Sehubungan dengan itu, kajian laluan kontra ini akan melibatkan penyaluran trafik di lokasi-lokasi berikut seperti dinyatakan.
Laluan kontra ini adalah khusus dan terhad untuk pengguna LDP yang ingin ke Putrajaya atau Shah Alam sahaja. – UTUSAN










