KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim memfailkan saman terhadap badan tersebut dan beberapa pegawai tertingginya bagi mencabar pemecatannya yang didakwa dilakukan secara salah, awal Jun lalu.
Md. Nasir selaku plaintif menamakan Finas, Menteri Komunikasi dan Digital (tidak dinamakan secara spesifik), Pengerusi Finas, Datuk Kamil Ahmad Mohd. Othman, wakil Ketua Setiausaha dan Kementerian Komunikasi dan Digital serta dua Ahli Lembaga Finas, Noor Azam Shairi dan Adwan Ariff Abdul Rahman sebagai defendan pertama hingga keenam.
Menurut saman yang difailkan pada 28 Jun lalu, Md. Nasir memberitahu, Finas telah melantiknya sebagai CEO dengan gaji pokok RM20,000 sebulan bagi tempoh dua tahun bermula 1 November 2021 sehingga 31 Oktober 2023.
Sepanjang tempoh itu, bapa kepada pelakon-pelakon, Anzalna, Afifah dan Mia itu juga layak mendapat elaun dan imbuhan sebanyak RM6,816.67.
Bagaimanapun, pada 31 Mei lalu, defendan pertama telah menamatkan perkhidmatannya secara serta-merta berkuat kuasa 1 Jun lepas dengan bayaran satu bulan gaji bagi menggantikan notis pemberhentian yang didakwa dilakukan secara salah, mala fide (niat jahat) dan tanpa sebarang alasan munasabah.
Plaintif mendakwa berdasarkan surat bertarikh 31 Mei lalu, pemecatannya dibuat bersandarkan dan dengan kelulusan menteri yang dinyatakan dalam satu lagi surat bertarikh 5 Mei lalu.
Bagaimanapun, pada 1 Jun lepas, Menteri Menteri Komunikasi dan Digital telah membuat satu sidang akhbar dan menyatakan bahawa penamatan Md. Nasir adalah keputusan Lembaga Finas sendiri dan defendan kedua itu tidak terlibat atau mempunyai sebarang kaitan dengan keputusan Lembaga tersebut.
Sehubungan itu, plaintif mendakwa pemecatannya dibuat secara salah kerana pada ketika pemecatannya dilakukan, Finas tidak mempunyai komposisi yang sah untuk bertindak atau melaksanakan kuasa-kuasa di bawah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.
“Di bawah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981, Perbadanan FINAS (Defendan Pertama) haruslah terdiri daripada seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan mempunyai tidak kurang daripada tujuh ahli tetapi tidak melebihi 10 ahli yang lain untuk membentuk Perbadanan yang sah.
“Pada semua masa-masa yang material, defendan pertama tidak mempunyai satu Perbadanan yang sah kerana Perbadanan Finas (ketika itu) hanya mempunyai empat ahli.
“Oleh yang demikian, defendan pertama tidak boleh membuat sebarang keputusan atau bertindak sebagai satu Perbadanan di bawah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 khususnya mengeluarkan surat bertarikh 31 Mei 2023 untuk menamatkan perkhidmatan plaintif,” ujar Md. Nasir dalam penyata tuntutannya.
Tambah bekas CEO itu, akibat pemecatan secara salah itu beliau telah mengalami rasa malu dan tekanan mental.
Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi khas sebanyak RM134,083.35 iaitu jumlah gaji yang sepatutnya diterima daripada 1 Jun hingga 31 Oktober 2023 (baki tempoh perkhidmatan mengikut kontrak).
Plaintif turut menuntut faedah sebanyak lima peratus setahun dikenakan terhadap jumlah ganti rugi khas dari tarikh 1 Jun 2023 sehingga penyelesaian penuh.
Beliau juga memohon deklarasi mahkamah bahawa surat bertarikh 31 Mei lalu adalah tidak sah dan terbatal.
Turut dimohon ialah ganti rugi am, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai. Semakan pada sistem mahkamah mendapati kes saman ini ditetapkan untuk pengurusan kes pada 28 Julai ini. – UTUSAN










