Pasaran kerja tepu, gaji rendah punca graduan jurutera belum kerja

Pasaran kerja tepu, gaji rendah punca graduan jurutera belum kerja

BERDASARKAN kajian pengesanan graduan 2022 yang dikeluarkan KPT, hampir 30,000 graduan belum bekerja direkodkan meliputi bidang kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pasaran kerja dalam bidang kejuruteraan tepu ketika ini dilaporkan menjadi punca kepada lebih 5,000 graduan dalam bidang tersebut menganggur.

Berdasarkan kajian pengesanan graduan 2022 yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), hampir 30,000 graduan belum bekerja direkodkan meliputi bidang kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan antara tertinggi dengan seramai 5,708 orang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Jurutera Muslim Malaysia (MINDA), Faqih Badrishah berkata, selain tepu, tawaran gaji tidak kompetitif dan tidak setimpal dengan kelulusan juga menjadi antara faktor lambakan graduan kejuruteraan.

Memuatkan artikel berkaitan…
FAQIH BADRISHAH

Menurut beliau, berbanding dengan bidang lain seperti kewangan, pemasaran dan lain-lain yang berkaitan, kadar upah lebih tinggi menyebabkan graduan bidang berkenaan lebih berminat untuk memasuki pasaran kerja sektor itu.

“Bagi syarikat-syarikat yang besar dan multinasional mereka masih membayar gaji mengikut pasaran iaitu sebanyak RM3,000 ke RM3,500 sebulan bagi lepasan graduan, bagi kilang-kilang pula sekitar RM2,200-2,800 sebulan.

“Tetapi ada juga syarikat yang masih lagi membayar gaji permulaan sebanyak RM1,800 ke RM RM2,000, yang antara lain kerana lambakan graduan atau jurutera tidak berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) sebagai Jurutera Siswazah BEM.

“Ada juga sesetengah syarikat menawarkan jawatan jurutera dengan hanya mempunyai kelulusan diploma sudah memadai. Ramai dalam kalangan jurutera mendapat gaji yang tidak setimpal,” katanya di sini semalam.

Faqih berkata, antara faktor lain ialah tuntutan ekonomi GIG menyebabkan graduan mempunyai pilihan yang lebih besar dari bekerja dalam bidang pengajian kepada di luar bidang.

Menurut beliau, tuntutan industri yang mementingkan pengalaman kerja, kemahiran dan keterampilan turut menyekat graduan yang ada kemahiran komunikasi dan kepemimpinan bagus untuk diambil bekerja hanya kerana tidak pandai menonjolkan diri.

Kebiasaannya, graduan akan lebih yakin apabila mereka sendiri didedahkan dengan pengalaman di industri seperti program pembelajaran berasaskan pekerjaan (WBL) atau kursus praktikal bersama pihak industri.

Justeru, katanya, lawatan industri perlu diperbanyakkan atau memanjangkan tempoh latihan industri serta menggalakkan industri melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dalam bentuk latihan atau ceramah bersama pelajar-pelajar kejuruteraan.

Dalam pada itu, Faqih berkata, keselarasan penjajaran silibus dan kemasukan yang tidak selari di antara sekolah dan IPT menyebabkan kurang minat pelajar kepada bidang kejuruteraan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Pelajar mungkin menghadapi kesukaran dalam memperoleh sokongan dan sumber untuk mengejar bidang kejuruteraan kerana sekolah mungkin tidak mempunyai infrastruktur mencukupi atau sumber daya memadai demi membangkitkan minat dan memberikan latihan praktikal dalam bidang ini,” katanya.

Menurut Faqih, peranan warga pendidik juga penting untuk mengetengahkan pelajar kepada konsep reka bentuk dan matematik kejuruteraan sebagai nilai tambah pengetahuan sedia ada.

Katanya, ia perlu dibangunkan program khas dengan peruntukan perbelanjaan daripada pihak kementerian untuk menonjolkan keseronokan subjek tersebut agar pelajar sekolah merasakan ilmu tersebut berguna untuk kehidupan mendatang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini