Orang Asli Pos Tuel gesa baiki segera jalan rosak

Orang Asli Pos Tuel gesa baiki segera jalan rosak

PENDUDUK Orang Asli di Pos Tuel, Gua Musang, Kelantan terpaksa bergadai nyawa apabila perlu melalui jalan yang berlaku runtuhan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 1,000 penduduk Orang Asli di Pos Tuel di sini memohon kerajaan supaya menaik taraf jalan menuju ke kampung mereka berikutan tahap kerosakan yang semakin teruk.

Penduduk mendakwa sejak dua tahun lalu terdapat kira-kira 100 kerosakan termasuk lubang kecil, jalan tidak rata, jalan runtuh dan hakisan bukit sehingga menutup separuh jalan yang bo­leh mengundang bahaya kepada pengguna.

Jalan itu berjarak kira-kira 20 kilometer bermula dari simpang masuk Pos Hendrop ke Pos Tuel.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penghulu Pos Tuel, Halim Sharif berkata, kerosakan jalan berlaku sejak dua tahun lalu apabila hujan turut menyebabkan runtuhan tanah bukit serta ha­kisan jalan.

Katanya, jalan berturap ke Pos Tuel yang dibina sejak lebih lima tahun lalu itu menjadi nadi perhubungan penting penduduk Orang Asli di lebih 10 buah kampung di sini keluar ke bandar Gua Musang.

“Kami risau apabila jalan itu sudah tidak selamat untuk digunakan penduduk Orang Asli terutamanya waktu malam kerana banyak kerosakan teruk.

“Saya sudah melaporkan ma­salah ini kepada pihak berwajib dan berharap agar aduan kami ini diselesaikan segera,” katanya ketika ditemui di Pos Tuel di sini semalam.

Penghulu Kampung Hanir, Ra­zak Rongging pula berkata, penduduk terpaksa bergadai nyawa apabila perlu melalui jalan runtuh yang masih belum dibaiki sejak bulan April lalu.

Katanya, kerosakan jalan ter­sebut dipercayai berpunca dari­pada hujan serta kenderaan mem­bawa muatan berat yang me­lalui jalan tersebut setiap hari.

“Penduduk tiada pilihan lain kerana jalan itu merupakan satu-satunya jalan utama untuk berulang-alik ke bandar dan menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Hendrop.

“Kami berharap jalan ber­ke­naan segera dibaiki untuk kese­lamatan penduduk Orang Asli yang berulang-alik untuk mela­kukan urusan harian,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Angah Amat berkata, jalan menuju ke Pos Tuel juga semakin sempit dan mempunyai banyak selekoh yang bahaya.

“Jalan itu penting untuk penduduk kampung keluar dan masuk ke kampung ini. Kami menggunakan jalan itu untuk menghantar anak ke sekolah dan ahli keluarga yang sakit ke hospital.

“Kami berharap tindakan dapat diambil dan segera membaiki kerosakan yang boleh menyebabkan gangguan serta mengancam keselamatan pengguna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini