TAWAU: Pasukan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mempergiat operasi membanteras penyalahgunaan bot pam yang sering digunakan bagi melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan.
Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Victor Sanjos berkata, Op Gasak Laut akan melibatkan pemeriksaan secara besar-besaran, menahan dan melupuskan bot pam tanpa lesen kerana ia berupaya melumpuhkan mobiliti kegiatan jenayah rentas sempadan terutama aktiviti penyeludupan dan pendatang asng tanpa izin (PATI).

Beliau berkata, menerusi Op Gasak Laut yang dilaksanakan di perairan sepanjang Batu 3 hingga Batu 5 ketika ini, ia sebagai langkah membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penculikan, rompakan, penyeludupan dan pengeboman ikan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
“Melalui operasi itu sebanyak 13 bot pam dan 26 orang individu telah diperiksa. Daripada jumlah itu, sebanyak lima buah bot pam dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) manakala, seramai empat orang PATI ditangkap dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen.
“Kesemua PATI yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Victor, ESSCOM komited dalam menguat kuasakan dan membanteras penyalahgunaan bot pam yang sering digunakan bagi menyeludup masuk PATI serta jenayah rentas sempadan lain yang mengancam keselamatan di ESSZone.
Operasi yang dilaksanakan secara bersepadu itu disertai seramai 96 orang pegawai dan anggota pelbagai agensi seperti PDRM), Pasukan Polis Marin, Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD SRI TAWAU, Markas Angkatan Tugas Bersama 2, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Perikanan, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, JPDS Angkatan Pertahanan Awam dan Majlis Perbandaran Tawau.
“Saya amat memandang serius mengenai penyalahgunaan bot pam dan Operasi Gasak Laut (bot pam) yang menyasarkan pemeriksaan bot pam tanpa lesen secara besar-besaran.
“Kehadiran pasukan keselamatan secara terkoordinasi juga akan mewujudkan elemen cegah rintang dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan perairan di negeri ini,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan semua pemilik bot pam di perairan ESSZone supaya mendapatkan lesen secara sah bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil. Beliau berharap masyarakat di kawasan ESSZone terus membantu ESSCOM dengan melaporkan segera sekiranya terdapat aktiviti penyalahgunaan bot pam ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072.-UTUSAN










