PETALING JAYA: Pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman bagi menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) isyarat bahawa kerajaan mahu mengembalikan keyakinan awam selain memperkukuhkan institusi integriti negara.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, langkah tersebut memberi harapan baharu kepada usaha memperkukuh keyakinan rakyat terhadap agensi penguatkuasaan berkenaan, khususnya dalam memastikan setiap kes rasuah ditangani secara adil, telus dan profesional.
Katanya, MCW melihat tindakan kerajaan itu memberi penekanan kepada prinsip kedaulatan undang-undang, memperkukuh kualiti siasatan dan pendakwaan serta menampilkan imej integriti yang lebih tinggi dalam institusi itu.
“Pelantikan individu dari luar struktur dalaman SPRM berpotensi membawa perspektif lebih segar serta bebas daripada pengaruh budaya organisasi sedia ada, sekali gus membuka ruang kepada reformasi yang lebih berani dan menyeluruh.
“Pendekatan ini juga boleh mengurangkan risiko konflik kepentingan dalaman serta memperkukuh persepsi kebebasan institusi di mata masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pelantikan dari luar bukan tanpa cabaran, termasuk kemungkinan kekurangan pemahaman terhadap operasi dalaman agensi serta keperluan menyesuaikan diri dengan struktur kerja sedia ada.
Tambahnya, kepimpinan baharu juga berpotensi berdepan rintangan dalaman serta kebergantungan kepada pegawai sedia ada, yang jika tidak diurus dengan baik boleh menjejaskan keberkesanan pelaksanaan dasar dan hala tuju reformasi.
Mengulas pelantikan Abdul Halim, beliau berkata, mesej untuk memperkukuh integriti dan kedaulatan undang-undang hanya akan diyakini rakyat sekiranya disusuli tindakan yang jelas, konsisten dan bebas daripada sebarang unsur pilih kasih.
“MCW berpandangan pemergian Azam Baki berupaya meredakan tekanan serta kontroversi yang sebelum ini melanda SPRM, sekali gus membuka ruang kepada pemulihan imej institusi tersebut.
“Namun, kegagalan menangani isu-isu terdahulu secara telus dan menyeluruh boleh menimbulkan persepsi negatif bahawa masalah lama hanya disapu ke bawah karpet tanpa penyelesaian tuntas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa keutamaan sebenar bukan sekadar pertukaran individu, sebaliknya melibatkan pembaharuan sistemik yang menyeluruh.
“Antara langkah yang perlu diberi perhatian termasuk memperkukuh mekanisme pelantikan yang lebih telus, memisahkan fungsi siasatan dan pendakwaan serta meningkatkan tahap ketelusan dalam setiap tindakan penguatkuasaan.
“Perubahan kepimpinan hanya akan membawa makna sekiranya disertai keberanian untuk bertindak tanpa takut atau pilih kasih. Tanpa reformasi struktur yang sebenar, sebarang pertukaran hanya akan dilihat sebagai pengulangan kitaran lama dengan wajah berbeza,” katanya. – UTUSAN










