KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan bahawa wang RM114 juta yang ditemukan di kondominium miliknya adalah aset peribadinya, sebaliknya mendakwa wang tersebut merupakan duit parti UMNO yang diamanahkan kepadanya untuk kegunaan Pilihan Raya Umum ke-14.
Tambahnya, status pemilikan wang berkenaan juga telah disahkan oleh peguam parti berkenaan dalam prosiding pelucutan hak wang tersebut dan dalam laporan polis yang dibuat sehari selepas pihak berkuasa menyerbu kondominumnya di Pavilion Residences di sini.
“Presiden semasa UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah mengesahkan melalui satu afidavit pada masa material dalam prosiding yang dinyatakan di atas bahawa RM114 juta tersebut adalah milik UMNO dan bukan milik saya.
“Setelah permohonan Pendakwa Raya tersebut ditolak, tiada perintah telah diletakkan berhubung ke manakah wang RM114 juta tersebut harus dikembalikan, dan oleh itu, pihak-pihak berkuasa hanya dikehendaki untuk mengembalikan wang tersebut ke tempat di mana ia ditemukan iaitu di kondominium saya,” kata Najib.
Selain itu, Najib menyatakan tindakannya tidak menyenaraikan kenderaan mewah jenis Range Rover dengan nombor pendaftaran JSM1 yang dihadiahkan oleh Sultan Johor kepadanya adalah sesuatu yang tidak disengajakan.
Najib berkata demikian dalam afidavit balasan bagi menjawab afidavit tambahan yang difailkan Pengerusi 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Datuk Johan Mahmood yang mendakwa bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak mengisytiharkan kesemua asetnya sebagaimana yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Johan dalam afidavit tambahannya menyatakan Najib hanya menyatakan aset yang diperolehnya daripada tahun 2011 hingga 2020 dan tiada sebarang maklumat mengenai harta yang dimilikinya dari tahun 2021 hingga 14 Mac 2022.
“Tiada pendedahan berkenaan aset-asetnya pada 2021 sehingga 14 Mac 2022. Najib (juga) tidak mendedahkan sebarang aset di luar bidang kuasa dan mengikut laporan berita bertarikh 5 Ogos 2021, wang tunai sebanyak RM114 juta telah dilepaskan kepadanya berikutan penolakan saman berhubung pelucutan hak harta,” ujar Johan dalam afidavit berkenaan.
Pada 8 Februari 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan ex-parte bagi injunksi mareva oleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) terhadap Najib dan beberapa individu lain.
Perintah mareva itu mengkehendaki Najib membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya sehingga pada nilai AS$681,000,000, sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak, dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.
Selain perintah melarang Najib mengalihkan, melupuskan, mengendalikan atau mengurangkan nilai asetnya di dalam negara, perintah Mareva itu juga tidak dibenarkan mengeluarkan wang melebihi RM100,000 sebulan daripada akaunnya untuk perbelanjaan sara hidup biasa dan perbelanjaan guaman.
Perintah itu berkuatkuasa sementara menunggu keputusan akhir kes saman sivil AS$8 bilion yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadap bekas Perdana Menteri dan bekas pengurusan kanan 1MDB.
Selain Najib, turut dinamakan dalam saman itu ialah bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh Choh Heng; bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee; dan bekas Ketua Pegawai Operasi 1MDB Vincent Beng dan Radhi Mohamad. – UTUSAN










