PUTRAJAYA: Isu ruang sempit dalam khemah di Mina memerlukan ijtihad dan perancangan baharu bagi mencari penyelesaian masalah penempatan para jemaah haji Malaysia khususnya di bawah muassasah sepanjang bermabit (bermalam) di tanah haram itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Dekan Jaringan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim berkata, penyelesaian itu boleh dilakukan jika pihak Tabung Haji (TH) dapat memikir jalan penyelesaian menerusi kaedah menambah baik penempatan sedia ada.
Kata beliau, jika kaedah pembayaran kos ibadah haji boleh dilakukan dengan melihat kepada tahap kewangan jemaah sama ada B40, M40 atau T20, maka tidak salah jika kaedah penempatan juga difikirkan seperti itu.
“Jemaah B40 dan M40 boleh tinggal di khemah sepenuhnya, manakala golongan T20 ke atas yang bersama muassasah boleh difikirkan di tempat lain dengan kos tambahan atau kos sedia ada.
“Kaedah ini sebagaimana dilaksanakan oleh pengurusan jemaah yang mengikuti pakej haji swasta apabila mereka tidak berada di khemah mina pada siang hari, sebaliknya berada di hotel dan hanya bermalam beberapa jam di khemah itu pada waktu malam.
Dua hari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memberitahu, isu ruang sempit dalam khemah di Mina mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan keprihatinan baginda terhadap kebajikan jemaah Malaysia dan mahu perkara itu diteliti serta ditangani.
Justeru, Mohd. Na’im berkata, beliau sudah berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi TH supaya Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji memikirkan ijtihad baharu dalam usaha mengatasi isu berkenaan, terutama dari aspek bermabit di Mina.
Menurut Mohd. Izhar Ariff, jika perubahan kaedah ini terdapat implikasi hukum kontemporari haji, maka pihak TH perlu segera membincangkan hukumnya dan dibawa ke Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI).
Langkah ini agar cadangan fatwa terkini mengenai kaedah baharu yang dilihat baik untuk para jemaah itu ditentukan hukumnya secara rasmi oleh para mufti seluruh negeri.
“Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji sama ada dalam kalangan warga TH dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh sama-sama berbincang untuk mencari penyelesaian terbaik agar keseleaan para jemaah khususnya jemaah muassasah berasa dalam keadaan selesa dan baik dari sekarang,” katanya. -UTUSAN










