PETALING JAYA: MCA dan MIC disaran keluar daripada Barisan Nasional (BN) kerana gabungan parti itu tidak lagi dapat menawarkan kerusi sewajarnya dalam pilihan raya negeri (PRN).
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kedua-dua parti itu tidak mendapat sebarang kerusi kerana terpaksa berebut dengan Pakatan Harapan (PH) khususnya parti berbilang kaum iaitu DAP dan PKR.
“Bila BN berada bersama parti bukan Melayu dalam PH khususnya DAP dan PKR iaitu parti berbilang kaum, jadi kerusi campuran terpaksa diberi kepada PH.
“Maka kerusi untuk MCA dan MIC tidak ada lagi oleh kerana tidak diberi kerusi yang boleh menang. Daripada bertanding untuk kalah, lebih baik tidak bertanding,” katanya ketika Sesi Bersama Sanusi secara maya sempena PRN malam tadi.
Sebaliknya, kata beliau, MCA dan MIC boleh mendapat jumlah kerusi yang sewajarnya jika bertanding bersama PN.
“Perkara ini perlu dilanjutkan lagi dengan MCA dan MIC keluar dari BN. Ini lebih munasabah.
“Saya rasa kerusi campuran boleh diwakili MCA dan MIC kalau mereka menjadi komponen PN,” katanya. – UTUSAN