CARACAS: Presiden Venezuela, Nicolas Maduro berkata, negaranya bersedia untuk berunding dengan Amerika Syarikat (AS) bagi memerangi pengedaran dadah, namun enggan mengulas mengenai laporan serangan yang didakwa diketuai Agensi Perisikan Pusat (CIA) terhadap negaranya minggu lalu.
Kenyataan itu dibuat semasa temu bual semalam ketika Maduro menampilkan nada lebih mesra terhadap Washington di tengah-tengah sekatan dan tekanan ketenteraan berbulan-bulan yang dikenakan AS.
Pada hari yang sama, lebih 80 tahanan yang dituduh menyertai protes terhadap kemenangan kontroversi beliau dalam pilihan raya 2024 dibebaskan, menjadikannya pelepasan kedua dalam beberapa hari terakhir.
“Di mana sahaja mereka mahu dan bila-bila masa mereka mahu,” kata Maduro kepada wartawan Sepanyol, Ignacio Ramonet, mengenai idea dialog dengan AS berkenaan pengedaran dadah, minyak dan migrasi dalam temu bual di televisyen kerajaan.
Beliau menekankan sudah tiba masanya kedua-dua negara memulakan perbincangan dengan serius, berdasarkan data yang tepat.
“Kerajaan AS tahu, kerana kami sudah memberitahu ramai jurucakap mereka jika mereka mahu membincangkan perjanjian serius untuk memerangi pengedaran dadah, kami bersedia,” katanya.
Namun, Maduro menegaskan semula dakwaannya AS cuba menggulingkan kerajaan beliau dan mengakses rizab minyak Venezuela melalui sekatan dan tekanan ketenteraan yang berpanjangan.
“Jika mereka mahu minyak, Venezuela bersedia untuk pelaburan AS seperti dengan Chevron,” tambahnya, merujuk kepada syarikat minyak gergasi Washington yang merupakan satu-satunya syarikat utama mengeksport minyak mentah Venezuela ke AS.
Apabila ditanya secara langsung oleh Ramonet sama ada beliau mengesahkan atau menafikan serangan AS di wilayah Venezuela, Maduro hanya menegaskan ini mungkin sesuatu yang akan bincangkan dalam beberapa hari lagi.-AGENSI
CAPTION
NICOLAS MADURO










