HULU SELANGOR: Negara masih belum mempunyai data khusus berhubung jumlah rakyat yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri, sekali gus menyukarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenal pasti golongan terlibat secara menyeluruh dan merangka penyelesaian lebih berkesan.
Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, setakat ini tiada statistik rasmi dapat dikeluarkan kerana kebanyakan kes hanya diketahui melalui laporan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aduan orang awam serta pendedahan media termasuk di platform media sosial, tanpa direkodkan dalam sistem agensi berkenaan.
Menurut beliau, isu keciciran dokumen pengenalan diri masih berlaku, khususnya di kawasan bandar, dan situasi itu lebih membimbangkan di negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak yang berdepan cabaran geografi serta faktor sosioekonomi.
“Malah, pengalaman saya sendiri ketika berada di Kota Bharu minggu lalu mendapati masih terdapat kanak-kanak yang tercicir dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang lengkap.
“Justeru, saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan media yang sentiasa membantu JPN memastikan tiada rakyat Malaysia yang layak tercicir daripada memiliki dokumen pengenalan diri,” katanya selepas menyerahkan kad pengenalan daftar lewat kepada tujuh beradik di Sungai Buaya, di sini, semalam.
Antara punca masalah berkenaan, kegagalan ibu bapa mendaftarkan perkahwinan secara sah, yang akhirnya memberi kesan besar kepada status pendaftaran kelahiran anak-anak.
Badrul Hisham turut mengingatkan semua warganegara Malaysia agar memastikan perkahwinan didaftarkan mengikut undang-undang bagi mengelakkan masalah berpanjangan kepada generasi seterusnya.
“Apabila perkahwinan tidak didaftarkan, ia akan menjadi isu besar kepada anak-anak pada masa hadapan, bukan sahaja dari sudut dokumen pengenalan diri, malah akses kepada pendidikan dan perkhidmatan asas,” katanya. – UTUSAN










