PUTRAJAYA: Masa depan UMNO dan Datuk Seri Najib Tun Razak akan gelap jika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) kalah dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri bulan depan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua UMNO Bahagian Sepang, Norazli Said berkata, justeru, penyokong bekas Perdana Menteri itu digesa tidak memboikot PRN dengan tidak mengundi BN-PH hanya kerana menganggap Kerajaan Perpaduan tidak melakukan apa-apa tindakan dalam memberi keadilan kepada Najib.
Beliau berkata, tindakan memboikot secara tidak langsung akan memenangkan Perikatan Nasional (PN) sekali gus terjerumus ke dalam perang saraf yang dimainkan PN.
“Jika anda fikir kerajaan hari ini tidak memberi keadilan kepada Najib, apa lagilah jika PN kembali memerintah. Tentulah PN tidak akan memberi keadilan Najib kerana mereka lah yang seronok Najib dipenjarakan.
“Memenangkan PN dalam PRN hanya membuka jalan kepada kembalinya PN yang akan mematikan UMNO-BN,” katanya di sini semalam.
Semalam, Ketua UMNO Bahagian Langkawi yang juga anak kepada Najib, Datuk Mohd. Nazifuddin menyifatkan, sokongan umum dan akar umbi terhadap bapanya adalah besar dan mungkin melebihi sokongan kepada parti UMNO sendiri.
Dalam situasi itu, beliau menjangka ada sebilangan penyokong Najib yang tidak keluar mengundi ataupun memberikan undi kepada pihak lawan pada PRN sekali gus mempunyai kesan yang mungkin signifikan dari segi sokongan orang Melayu kepada UMNO dan BN.
Norazli berkata, penyokong akar umbi UMNO-BN perlu menghadapi realiti semasa bahawa UMNO kini bersama PH dan mahu tidak mahu, UMNO dan PH mesti dimenangkan walaupun ada yang tidak menyukai PKR atau DAP.
Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Segambut, Mahathir Sulaiman pula berkata, dakwaan penyokong Najib memboikot PRN hanya perang saraf menjelang PRN dan mereka yang mungkin tidak sehaluan dengan Presiden UMNO.
Bagaimanapun, beliau berkata, UMNO tidak ada lagi berpuak-puak, malah kini berjalan seiring dengan kepimpinan parti.
“Kami tumpu pengukuhan parti dan PRN yang bakal tiba. Kami perbaiki strategi bagi penambahbaikan parti dalam ‘haluan baharu’ untuk terus mara ke hadapan sebagai parti yang paling banyak berjasa kepada negara.
“Tidak boleh dinafikan Najib adalah antara pemimpin negara terbaik yang pernah negara miliki dan diakui seluruh dunia, tetapi beliau hanya seorang hamba Allah, pemimpin datang dan pergi, tapi UMNO harus terus melangkah demi kemakmuran, kestabilan negara berpaksikan Perlembagaan,” katanya. – UTUSAN










