PETALING JAYA: Insiden yang meragut nyawa akibat kejadian kepala air didakwa berpunca daripada sikap agensi penguat kuasa yang tidak mempraktikkan sistem amaran awal risiko fenomena tersebut akan berlaku.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Damien Thanam Divean berkata, kejadian kepala air seperti yang berlaku di Gunung Jerai, Kedah pada Ogos 2021 sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua tentang langkah-langkah yang perlu diambil.
Menurutnya, perlu diakui kebanyakan kejadian kepala air yang meragut nyawa adalah disebabkan kegagalan pengunjung sendiri untuk mentafsir sendiri kawasan itu selamat atau sebaliknya.
“Namun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu dipertanggungjawabkan kerana gagal meletakkan waktu untuk pengunjung boleh berada di lokasi kejadian dan pukul berapa mereka perlu keluar.
“Kepala air boleh berlaku bila-bila masa, jadi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga perlu lebih sensitif dalam isu ini dengan mengeluarkan amaran kepala air kepada PBT jika risiko kepala air bertambah ketika hujan lebat di kawasan hulu sungai tetapi perkara ini tidak dipraktikkan sekarang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas tragedi yang menimpa 10 beranak dari Pahang apabila maut dihanyut air ketika berkelah di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Terengganu, Sabtu lalu.
Menurutnya, PBT harus bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi yang memberikan maklumat ramalan cuaca dan JPS pula meramalkan risiko kepala air sebelum meletakkan penguat kuasa bagi memastikan keselamatan pengunjung di kawasan air terjun.
Sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat mengenal pasti sebanyak 186 kawasan berisiko berlakunya fenomena kepala air membabitkan kawasan air terjun dan sungai di seluruh negara.
Sabah mencatatkan jumlah lokasi berisiko berlaku kepala air tertinggi dengan 52 lokasi, diikuti 24 lokasi di Kedah.
Damien Thanam Divean berkata, PBT juga perlu mempunyai satu mekanisme supaya jumlah dan maklumat pengunjung ke lokasi air terjun dapat diketahui sekiranya berlaku kejadian kejadian tidak diingini.
Beliau berkata, walaupun sesetengah tempat itu mungkin tidak terkenal untuk ramai pelancong, ia tetap mempunyai potensi pelancongan tempatan sekiranya mempunyai jalan masuk.
“Perkhidmatan daftar masuk boleh diberikan secara percuma atau bayaran yang murah dengan menempatkan anggota untuk memastikan jumlah yang masuk adalah jumlah tepat yang keluar apabila kawasan tersebut ditutup,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga boleh mewujudkan sistem amaran kepala air di kawasan yang berisiko kejadian itu sekiranya mempunyai lebihan kewangan.
Bagaimanapun, katanya, inisiatif itu tidak diperlukan sekiranya membebankan kerajaan dan pengunjung diberikan kesedaran supaya boleh mentafsir sendiri kawasan itu selamat atau tidak jika ada tanda-tanda kepala air melanda.
“Pertamanya, air akan berbuih, daun-daun kering akan sampai dahulu dan boleh dengar bunyi deruan air dari jauh lagi, jadi pengunjung mesti naik ke tebing tanah tinggi dengan kadar segera,” jelasnya. – UTUSAN










