Madu kelulut keluaran Mohd. Salleh tembusi pasaran luar negara

Madu kelulut keluaran Mohd. Salleh tembusi pasaran luar negara

MOHD. Sufian Mat Noor menunjukkan antara produk madu kelulut perusahaannya yang dijual di Galeri Madu Kelulut Bukit, Bukit Bayas, Kuala Terengganu. – UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seorang pengusaha madu kelulut memperoleh pendapatan lumayan apabila produk keluarannya berjaya menembusi pasaran Indonesia, Dubai dan Singapura sejak 2021.

Mohd. Sufian Mat Noor, 47, yang mula terlibat dalam perusahaan madu kelulut sejak 2015 berjaya memasarkan madu kelulut ke luar negara dengan bantuan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Menurutnya, pada masa ini, dia mempunyai 180 sarang madu kelulut yang ditempatkan di Galeri Madu Kelulut Bukit, Bukit Bayas, Kuala Terengganu.

Katanya, sarang madu kelulut itu mampu menghasilkan antara 120 sehingga 300 kilogram (kg) madu dalam tempoh sebulan.

“Saya bermula ternak kelulut secara suka-suka dengan hanya sebuah sarang di pekarangan rumah dan ketika itu dapat mengutip kira-kira 500 gram madu, kemudian saya beli 20 lagi sarang kelulut dan dapat sekitar 10 kg lagi madu,” katanya ketika ditemui Galeri Madu Kelulut Bukit, Bukit Bayas, Kuala Terengganu semalam.

Bagaimanapun, Mohd. Sufian memberitahu, ketika awal penglibatan dalam perusahan itu, beliau juga pernah mengalami kerugian kira-kira RM30,000  apabila  sebanyak 100 sarang madu namun hampir separuh musnah diserang ‘black fly soldier’ atau lalat hitam.

“Insiden itu tidak mematikan minat sebaliknya saya makin bersemangat. Melalui geran daripada agensi berkaitan, saya berpindah tempat sehingga wujudnya Galeri Madu Kelulut Bukit,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Sufian yang juga pengurus sebuah syarikat swasta berkata, kewujudan Galeri Madu Kelulut Bukit juga telah menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara.

Tambah Mohd. Sufian, pembukaannya juga antara inisiatif menjadikan Galeri Madu Kelulut Bukit itu sebagai lokasi agro pelancongan yang sentiasa dikunjungi terutama pada cuti awam.

Menurutnya, galeri itu menempatkan tiga spesies madu yang terkenal dengan keunikannya iaitu Heterotrigona itama (Itama), Lepidotrigona terminata‘ dan Geniotrigona thoracica (Torasika).

“Penggemar madu dari Yemen, Jordan dan Asia Barat mengakui kelazatan madu kelulut asli Malaysia hingga 200 kg. madu kelulut berjaya dieksport ke Dubai, dua tahun lalu.

“Selain itu, kejayaan ini turut dijadikan contoh atau mentor kepada 20 usahawan muda yang sedang menimba ilmu daripada saya untuk menceburi perusahaan madu kelulut.

“Perusahaan ini cukup lumayan sekiranya dilakukan dengan betul dan serius kerana madu tiada tamat tempoh selain banyak memberi manfaat terutama dari segi kesihatan,” tambahnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN