Liga Super: Harimau Kumbang cedera 'disondol' Badak - Utusan Malaysia

Liga Super: Harimau Kumbang cedera ‘disondol’ Badak

PENANG FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas tipis 1-2 kepada Sabah di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang malam ini. - Gambar: FB Penang FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Hasrat Penang FC untuk menebus kekecewaan dibelasah Sabah 5-2 di gelanggang lawan Mac lalu tidak kesampaian selepas tewas buat kali kedua di tangan lawan sama 1-2 di Stadium Bandaraya, di sini malam ini.

Seakan-akan telah melupakan episod duka kehilangan bintang tengah, Baddrol Bakhtiar yang terjun ke arena politik dan tewas kepada Selangor 0-1 minggu lepas, skuad Badak dilihat tidak kekok beraksi dan berjaya mendominasi sebahagian aksi separuh masa pertama dengan beberapa gerakan berbahaya ke kubu tuan rumah.

Skuad Harimau Kumbang bagaimanapun terlebih dahulu mencuri tumpuan apabila rembatan deras pemain tengah mereka, Mohamad Al Hafiz Harun berjaya ditepis penjaga gol, Damien Chien pada minit ke-6 perlawanan.

Selang beberapa minit kemudian, pelawat berjaya melancarkan serangan balas sebelum memperoleh gol pertama hasil sentuhan bekas tonggak kebangsaan, Irfan Fazail.

Peluang terbaik untuk anak-anak buah Manzoor Azwira menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-31, namun sepakan percuma luar kotak penalti yang bertenaga daripada pemain import, Adriano sekali lagi berjaya diselamatkan oleh Damien.

Ketika aksi separuh masa pertama dilihat akan berakhir dengan keputusan 0-1, Sabah secara tiba-tiba menggandakan asakan dan berjaya melebarkan jaringan menerusi tandukan penyerang mereka, Ramon Machado.

Masuk babak kedua, Penang FC cuba melancarkan beberapa serangan ke kubu Sabah dalam usaha untuk merapatkan kedudukan.

Gol yang ditunggu akhirnya tiba pada minit ke-76 apabila pemain gantian, Muhammad Alif Ikmalrizal Anuar berjaya melakukan satu larian deras sebelum melakukan rembatan leret ke arah gol sekali gus menewaskan Damien.

Bagaimanapun, kebangkitan yang cuba ditunjukkan oleh Penang FC itu gagal menyekat Sabah daripada mengutip tiga mata penuh untuk dibawa pulang ke Kota Kinabalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya