GUA MUSANG: DAP tidak pernah menyekat peruntukan melibatkan kepentingan orang Melayu sepanjang tempoh lapan bulan parti itu berada dalam Kerajaan Perpaduan mentadbir negara ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada keperluan untuk marah kepada parti berkenaan.
“Jangan kata kerajaan ini bawah telunjuk DAP…. ini Anwar saudara-saudara. DAP adalah sebahagian pasukan.
“Kita marah orang yang sakau (curi) duit rakyat. Saya akan pastikan tindakan tegas diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat dengan rasuah,” katanya ketika berucap pada program Sentuhan Kasih Desa Kelantan di Dataran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Paloh 2, di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Media sebelum ini melaporkan, DAP menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa parti itu menguasai Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, meskipun DAP antara parti komponen membentuk Kerajaan Perpaduan, ia tidak bermakna kerajaan didominasi oleh parti itu. – UTUSAN