KANGAR: Kerajaan negeri akan melakukan kawalan pencemaran secara bersepadu bersama agensi berkaitan di sungai-sungai yang dikenal pasti mengalirkan sumber air ke Empangan Timah Tasoh.
Pemantauan juga dilakukan di lokasi-lokasi pertanian dan perindustrian yang beroperasi berhampiran kawasan sumber air yang menampung keperluan di empangan itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Kemudahan dan Prasarana negeri, Izizam Ibrahim berkata, langkah tersebut adalah sebagai persediaan bagi mengelakkan sumber air di empangan itu tercemar sehingga mampu menjejaskan keperluan penduduk di Perlis.
“Keadaan di empangan itu sememangnya masih belum kritikal namun kerajaan negeri perlu sentiasa bersedia bagi melakukan kawalan di sungai, kawasan pertanian dan perindustrian yang berpotensi menjadi punca kepada pencemaran di empangan berkenaan.
“Selain itu, kita akan berusaha bagi mendidik masyarakat dan memberi kesedaran kepada mereka berhubung pencemaran sungai yang mampu memberi kesan kepada empangan ini,” katanya.
Terdahulu, Izizam menerima kunjungan bekas Profesor Kualiti Air dan Permodelan Kualiti Air, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Maketab Mohamed, 65, bersama bekas pengajar luar Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Kementerian Kesihatan, Halim Ismail yang melakukan kajian di empangan berkenaan sejak dua bulan lalu.
Dalam pada itu, Izizam berkata, berdasarkan hasil kajian tersebut, pihaknya bercadang untuk membincangkan perkara itu secara lebih lanjut bersama jabatan dan agensi berkaitan selepas ini antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Pertanian.
“Pencemaran di empangan itu memang belum berlaku buat masa ini namun jika tiada usaha pencegahan awal dilaksanakan di peringkat awal, maka ia dibimbangi akan berlarutan pada masa hadapan,” katanya.
Di samping itu, Izizam berkata, kerajaan negeri sedang mengenal pasti prosedur operasi standard (SOP) bersesuaian bagi langkah kawalan itu dan perkara tersebut akan diputuskan selepas perbincangan dilakukan bersama pihak berkaitan. – UTUSAN










