Kerajaan semakin galak tekan pembangkang guna undang-undang  

Kerajaan semakin galak tekan pembangkang guna undang-undang  

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan semakin galak menggunakan pendekatan melalui perundangan untuk menekan pembangkang. 

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan tersebut bertentangan dengan janji reformasi yang dilaungkan kerajaan sebelum ini. 

“Nampaknya kerajaan hari ini semakin galak menggunakan instrumen undang-undang untuk menekan pihak lawan politik mereka. 

“Ini sama sekali bertentangan dengan janji reformasi yang dilaungkan oleh mereka dahulu termasuk untuk menghapuskan Akta Hasutan. Inilah wajah sebenar mereka untuk ditatap oleh rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

Beliau berkata demikian susulan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor semalam didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Selayang kerana menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah, baru-baru ini. 

Bagaimanapun, pemimpin Pas itu mengaku tidak bersalah dan mahkamah menetapkan 4 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. 

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, dasar dan prinsip utama PN ialah menjunjung, memelihara dan mempertahan kedaulatan serta kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu sebagai Raja berperlembagaan. 

“Prinsip ini akan terus dipertahan,” katanya.

Pada 10 dan 13 Mac lalu, Muhyiddin didakwa atas tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Shah Alam atas pelbagai pertuduhan membabitkan empat pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram wang berjumlah RM200 juta. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN