LANGKAWI: Kerajaan negeri sepatutnya lebih kreatif mengembangkan Pulau Langkawi sebagai pusat pelancongan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada acara seperti Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) untuk menarik kemasukan pelancong.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan negeri perlu bertemu dengan menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan bagi merancang acara yang boleh diadakan untuk menarik lebih ramai pelancong.
“Kerajaan negeri kena berpakat dengan Kerajaan Persekutuan. Menteri Besar atau Exco kena jumpa menteri yang terlibat seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri atau Unit Perancang Ekonomi (EPU).
“Misalnya tahun depan ada acara apa dan boleh tak acara ini kami (kerajaan negeri) bawa ke Langkawi. Barulah tempat kita tak bergantung kepada LIMA untuk dua tahun sekali kerana acara lain juga boleh diatur,” katanya selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Perpaduan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Langkawi di sini, hari ini.
Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah berkata, melalui acara-acara atau program itu peluang anak muda dalam pelbagai bidang terutama kerjaya akan meningkat sehingga boleh meraih pendapatan sewajarnya.
Tambahnya, selaku ketua negeri, seharusnya Menteri Besar atau barisan Exconya memikirkan kelebihan seperti alam semula jadi yang ada di Langkawi untuk dijadikan sebagai tarikan pelancongan.
Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau turut meminta kerajaan negeri untuk segera menyelesaikan masalah bekalan air di sekitar pulau berkenaan kerana kebanyakan paip yang membekalkan air dari tanah besar telah dibina semasa Tan Sri Osman Aroff menjadi Menteri Besar pada tahun 1990-an.
“Kita telah cadangkan satu laluan paip baharu dibina untuk membawa sumber air dari tanah besar ke Langkawi. Untuk selesaikan masalah ini kerajaan negeri perlu ada kolaborasi dengan Kerajaan Persekutuan. Pelancong akan semakin ramai masuk jika negeri ini diuruskan dengan baik dan kalau rakyat Langkawi beri mandat kita akan selesaikan masalah air,” ujarnya.
Dalam pada itu, Barisan Nasional (BN) Kedah berpendirian kes yang dikaitkan dengan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor termasuk kes mahkamah dihadapinya diserahkan kepada tanggungjawab pihak berkuasa.
Mahdzir berkata, pihaknya tidak berniat untuk mencampuri urusan tersebut walaupun tidak menggemari tingkah laku Muhammad Sanusi sebelum ini.
“Saya dah sebut dalam ucapan saya, kenyataan media saya pun bahawa jika ada benda yang sepatutnya tak selesai contohnya unsur nadir bumi (REE) di Sik, maka kerajaan negeri patut buat penjelasan.
“Kerajaan negeri kena jelaskan apa status kedudukan REE. Tapi sekarang apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah buat kenyataan semalam, kita serahkanlah kepada pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) mempunyai hak sama ada hendak merehatkan atau menukar Ketua Pengarah Pilihan Raya mereka itu yang telah dituduh di bawah akta tersebut. – UTUSAN










