KUALA LUMPUR: UMNO sedang membina kekuatan baharu termasuk dalam kalangan generasi muda yang menunjukkan minat untuk bersama.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau melihat gelombang itu semakin jelas dan usaha mendekati anak muda perlu berterusan.
“Kita melihat ada gelombang baharu dalam kalangan anak muda yang mahu bersama UMNO dan perkara ini perlu diteruskan.
“Kita harap menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti, usaha Wanita, Pemuda dan Puteri akan membantu mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Pertandingan Nasyid Wanita Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Ahmad Zahid menyifatkan kehadiran ramai penyokong termasuk golongan lelaki dalam program anjuran Wanita UMNO sebagai tanda solidariti dan dukungan terhadap perjuangan parti.
Ahmad Zahid turut mengumumkan peningkatan hadiah wang tunai bagi juara Pertandingan Nasyid Wanita Kebangsaan 2026 daripada RM3,000 kepada RM30,000.
Katanya, ia sebagai penghargaan terhadap komitmen serta pengorbanan peserta yang sanggup berbelanja besar bagi memastikan persembahan terbaik di pentas akhir.
“Hadiah pertama saya naikkan daripada RM3,000 kepada RM30,000 berkuat kuasa tahun ini juga.
“Walaupun mock cheque (replika cek) yang dipaparkan atas pentas masih jumlah lama, tuntut hadiah baharu itu melalui Ketua Wanita UMNO,” katanya.-UTUSAN










