Kebakaran pejabat JSJ tiada unsur jenayah - Utusan Malaysia

Kebakaran pejabat JSJ tiada unsur jenayah

SAYANI Saidon (empat dari kiri) bersama warga bomba Perak membungkus bubur asyura untuk diagihkan dalam Program Bubur Asyura di Ibu Pejabat JBPM Perak di Bandar Meru Raya, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian kebakaran pejabat Bahagian D4, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, bulan lalu.

Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, siasatan di lokasi kebakaran juga tidak menemukan sebarang unsur asing yang boleh dikaitkan dengan perbuatan khianat.

Katanya, proses siasatan kes itu kini di peringkat akhir dan akan disiapkan dalam masa terdekat.

“Daripada siasatan yang kita buat, tiada unsur-unsur asing pun, hanya kebakaran biasa.

“Malah, berdasarkan siasatan, kita tidak dapat kesan perlakuan jenayah di situ, sebaliknya kita melihat daripada aspek pendawaian bangunan lama,” katanya ketika ditemui pada Program Bubur Asyura di Ibu Pejabat JBPM Perak di Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Sebanyak tiga kawah bubur asyura dimasak pada program anjuran Persatuan Sukan, Kebajikan dan Kebudayan Bomba (Perskeb), Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba (Perisma) dan Kelab Sukan dan Kebajikan Kakitangan (KSKK).

Mengulas lanjut Sayani berkata, ketika kebakaran, pihaknya mengambil alih pejabat itu untuk menjalankan siasatan dan akan diserahkan kepada pihak polis selepas laporan disiapkan.

“Cumanya bangunan itu, bangunan lama iaitu kuarters yang dijadikan pejabat dan tempat penyimpanan dokumen.

“Jadi, daripada aspek penyusunan dan penyimpanan dokumen di situ mungkin boleh ditambah baik,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 3.14 petang, 27 Jun lalu, Pejabat Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) JSJ IPK Perak di tingkat dua terbakar dengan anggaran kebakaran sekitar 40 peratus.

Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian berjaya memadam kebakaran dan mengawalnya daripada merebak dalam tempoh 26 minit.

Kejadian tidak melibatkan kecederaan mahupun kehilangan nyawa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN