KDN rampas 117 bahan al-Quran, peranti elektronik tanpa kelulusan - Utusan Malaysia

KDN rampas 117 bahan al-Quran, peranti elektronik tanpa kelulusan

NIK Yusaimi Yussof (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian perantik elektronik tanpa perakuan yang dirampas di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 117 bahan al-Quran dan peranti elektronik tanpa kelulusan hampir RM62,000 dalam satu serbuan di sebuah premis di Kampung Seberang Takir, dekat sini, hari ini.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof, berkata,  dalam serbuan pada pukul 9.30 pagi itu, seorang lelaki berusia 30-an yang juga pemilik premis terbabit  turut ditahan bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, antara bahan yang dirampas adalah 53 unit kad memori mengandungi 12,000 filem dan ayat al-Quran, 25 unit radio, 25 unit pemain video, 12 unit pemacu pena (pendrive) serta komputer riba.

“Hasil risikan selama dua hari, sepasukan anggota menyerbu sebuah premis tersebut dan siasatan awal mendapati aktiviti penjualan telah melanggar peraturan.

“Bentuk rampasan terdiri daripada filem yang tiada perakuan B di bawah Akta Penapisan Filem (APF) 2022 serta bahan al-Quran elektronik tanpa kelulusan Akta Percetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986.

“Kami percaya aktiviti penjualan bahan al-Quran tanpa perakuan KDN ini telah dijalankan oleh pemilik premis sejak dua tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Nik Yusaimi memberitahu, siasatan lanjut kementerian berkenaan mendapati modus operandi peniaga kini mula beralih kepada penjualan menerusi e-dagang, media sosial dan atas talian.

Menurut beliau, meskipun berdepan kesukaran mengesan aktiviti terbabit, KDN sentiasa memantu aktiviti penyalahgunaan bahan al-Quran yang dijual tanpa perakuan dan kelulusan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 18(4) APF 2022 dan Seksyen 7(1) APTQ 1986 yang memperuntukkan hukuman penjara atau denda atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

“Jika dahulu cara lebih konvensional digunakan peniaga dengan menjual di gerai-gerai cakera padat (VCD), namun kini mereka lebih licik dengan melakukan perkongsian di media sosial.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membeli, memiliki, menerbit atau menjual filem yang tiada perakuan B serta bahan al-Quran tanpa kelulusan KDN,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya