Kanak-kanak lemas mandi sungai bersama bapa

Kanak-kanak lemas mandi sungai bersama bapa

KELUARGA kepada Adryan Mikhael Mohamad Afiq yang lemas di Sungai Ketil, Kampung Lubuk Pedati di Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang kanak-kanak mati lemas setelah dihanyutkan air ketika menaiki pelampung bersama bapanya di Sungai Ketil, Kampung Lubuk Pedati, pada pukul 11.51 pagi tadi.

Mangsa, Adryan Mikhael Mohamad Afiq yang berusia setahun tujuh bulan, ditemukan lemas pada pukul 12.45 tengah hari di Kampung Sungai Limau kira-kira 3.3 kilometer (km) dari lokasi mangsa terjatuh.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Baling terdiri daripada seorang pegawai dan lima anggota telah ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan. 

“Pada pukul 12.45 tengah hari, pasukan penyelamat berjaya menemui mangsa melalui orang kampung, ketika ditemui mangsa telah pun meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Afiq Kasim, 30, dari Sungai Nibong, berkata, mereka ke lokasi itu untuk berkelah bersama rakan-rakannya dan tidak menyangka tragedi malang menimpa anak sulung kesayangan mereka.

“Ketika kejadian saya dan anak serta seorang lagi budak lelaki yang merupakan anak rakan menaiki pelampung berbentuk seperti bot, pelampung itu tersangkut dekat ranting pokok buluh yang terjuntai ke dalam air.

“Saya cuba menyelamatkan pelampung daripada terbalik namun gagal kerana arus deras, dalam keadaan kelam kabut, saya sempat selamatkan anak rakan, namun anak saya terus dihanyutkan air dan hilang,” katanya.

Katanya, dia menjerit meminta tolong, dan ada beberapa orang kanak-kanak kampung sedang mandi di kawasan berhampiran cuba menyelam dan mencari anaknya, tetapi gagal ditemui. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya