Proses penamaan calon DUN Endau tenang tanpa provokasi

PRN Johor: Proses penamaan calon DUN Endau tenang tanpa provokasi

Alwiyah Talib (tiga, kiri) berkumpul bersama penyokong sebelum bergerak ke pusat penamaan calon.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ENDAU: Biarpun dihimpit kontroversi, proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau berlangsung dalam suasana tenang tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Seawal pukul 8 pagi, penyokong parti yang bertanding iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Orang Asli  Malaysia mula berkumpul di perkarangan pusat penamaan  bagi memberikan sokongan kepada calon  dengan mematuhi segala arahan pihak berkuasa dan garis panduan yang ditetapkan.

Kehadiran lebih 50 anggota polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut memastikan proses penyerahan borang pencalonan berjalan lancar tanpa provokasi meskipun kerusi DUN Endau menjadi tumpuan sebelum ini. 

Penyandang kerusi DUN Endau, Alwiyah Talib yang meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kembali menyertai UMNO awal bulan ini, diumum sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRN kali ini.

Pengumuman oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi itu mengejutkan banyak pihak susulan Alwiyah baharu kembali menyertai UMNO tidak sampai sebulan selepas meninggalkan Bersatu.

Namun, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan keputusan mengetepikan Ketua Puteri UMNO Johor yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Mersing dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Mersing demi memberi laluan kepada Alwiyah.

Proses penamaan calon dijadual berakhir pada pukul 10 pagi sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya membuat semakan terhadap borang pencalonan dan mengumumkan calon yang layak bertanding.

Pada PRN Johor 2018, Alwiyah memenangi kerusi DUN Endau atas tiket BN mewakili UMNO sebelum membuat keputusan menyertai Bersatu pada Mei tahun sama bersama beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO lain.

Pada PRN 2022, beliau mempertahankan kerusi berkenaan atas tiket Perikatan Nasional (PN) sebelum dilantik sebagai Ketua Bersatu Bahagian Mersing pada 10 Mac lalu.

Kerusi DUN Endau dijangka menyaksikan saingan sengit pada PRN kali ini memandangkan kawasan berkenaan sebelum ini dianggap antara kubu kuat PN. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN