Kucing dan anjing sering menjadi pilihan sebagai haiwan peliharaan kerana sifatnya yang comel, manja dan mudah didekati.
Ramai yang terdorong untuk memelihara kedua-dua haiwan itu selepas melihat pelbagai video tular dalam media sosial yang memaparkan gelagat comel mereka.
Namun, tidak semua menyedari di sebalik kecomelan itu, sebenarnya haiwan peliharaan memerlukan komitmen dan tanggungjawab besar daripada pemilik.
Hakikatnya, memelihara haiwan peliharaan bukan sekadar memberi makan atau meluangkan masa bermain dengannya.
Tetapi ia merupakan satu amanah yang menuntut perhatian terhadap aspek kesihatan, pemakanan, kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan haiwan itu sepanjang hayatnya.
Malangnya, masih ada segelintir individu yang memelihara haiwan peliharaan hanya kerana mengikut trend atau tertarik dengan rupanya yang comel tanpa membuat persediaan sewajarnya.
Akibatnya, apabila kucing atau anjing membesar, jatuh sakit atau memerlukan kos penjagaan tinggi, ada yang sanggup mengabaikan, malah membuangnya begitu sahaja.
Menurut pencinta haiwan, Nasrullah Al-Hussaini, 24, pemilik perlu memahami haiwan peliharaan mempunyai keperluan asas yang perlu dipenuhi setiap hari, bukannya hanya diberi perhatian apabila mempunyai masa lapang.
Selain makanan berkualiti dan air bersih, haiwan peliharaan turut memerlukan tempat tinggal selesa, pemeriksaan kesihatan berkala serta perhatian dan kasih sayang berterusan.
“Ramai suka bermain dengan anak kucing kerana ia kelihatan comel, tetapi apabila haiwan itu membesar atau mula sakit, ada yang tidak lagi mahu menjaganya.
“Kalau kita sudah membuat keputusan untuk memelihara kucing atau anjing, kita perlu bersedia menjaganya sehingga akhir hayat, bukan hanya untuk berseronok,” katanya kepada Seri.
Ujarnya, haiwan peliharaan juga boleh mengalami tekanan, ketakutan dan sakit seperti manusia walaupun tidak mampu meluahkan apa yang dirasai.
Perubahan tingkah laku seperti hilang selera makan, gemar bersembunyi atau menjadi lebih agresif sering menjadi petanda haiwan itu memerlukan perhatian dan rawatan segera.
Seorang lagi pencinta haiwan, Zurina Shariff, 53, berkata, masih ramai masyarakat memandang ringan tanggungjawab sebagai pemilik sehingga menyebabkan kes pengabaian haiwan peliharaan terus berlaku.
Katanya, kebanyakan kucing yang ditemui terbiar di jalanan sebenarnya pernah dipelihara, namun ditinggalkan apabila pemilik tidak lagi mampu menanggung kos penjagaan atau hilang minat untuk memeliharanya.
“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana haiwan peliharaan bergantung sepenuhnya kepada manusia untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.
Dia turut mengingatkan orang ramai supaya menilai kemampuan diri sebelum mengambil keputusan untuk memelihara haiwan.
Menurutnya, aspek kewangan, masa dan komitmen perlu dipertimbangkan dengan teliti kerana pemilik bertanggungjawab memenuhi segala keperluan haiwan tersebut, termasuk kos makanan, vaksinasi, rawatan veterinar, pemandulan dan penjagaan harian.
Sementara itu, Fatin Sakinah Ahmad Asrul, 27, berpendapat media sosial mampu menjadi platform yang berkesan untuk mendidik masyarakat mengenai tanggungjawab memelihara haiwan dan bukannya sekadar memaparkan sisi comel haiwan peliharaan.
Perkongsian tentang cara penjagaan yang betul, kepentingan kesihatan serta kisah pengabaian haiwan mampu membuka mata masyarakat terhadap realiti sebenar memelihara kucing atau anjing.
“Ramai yang hanya nampak video kucing bermain atau melakukan aksi comel, tetapi mereka tidak melihat komitmen sebenar di sebalik penjagaan haiwan itu.
“Sebab itu saya berharap lebih ramai pencipta kandungan berkongsi maklumat yang boleh mendidik masyarakat supaya mereka lebih bersedia sebelum mengambil keputusan memelihara kucing,” katanya.
Setiap individu perlu sedar memiliki haiwan peliharaan bukan sekadar memenuhi kehendak sendiri, sebaliknya memikul tanggungjawab terhadap satu nyawa yang bergantung sepenuhnya kepada manusia.
Hakikatnya, memelihara kucing bukan sekadar untuk dijadikan teman bermain atau kandungan media sosial.
Tetapi, ia merupakan satu amanah yang menuntut komitmen, kasih sayang dan kesediaan untuk menjaga kebajikan haiwan itu sepanjang hayatnya.
Apabila setiap pemilik memahami tanggungjawab tersebut, lebih banyak haiwan peliharaan berpeluang menikmati kehidupan selamat, sihat dan penuh kasih sayang, sekali gus mengurangkan kes pengabaian haiwan yang masih berlaku dalam masyarakat.










