Kaka Azraff jaga bayi sendiri, gusar kes dera di pusat jagaan - Utusan Malaysia

Kaka Azraff jaga bayi sendiri, gusar kes dera di pusat jagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Gusar dengan berita penderaan yang berlaku di pusat jagaan kanak-kanak penyanyi, Kaka Azraff memilih untuk menjaga semua cahaya matanya sendiri.

Bagi Kaka atau nama penuhnya Nor Atiqa binti Noor Azraff, 34, anak tetap menjadi keutamaan walaupun sibuk menjalani aktiviti seni seharian.

“Setiap kali tengok berita (penderaan) di pusat jagaan kanak-kanak, saya berdoa dalam hati agar dijauhkan daripada perkara sebegitu. Kita nak hantar anak pun rasa takut-takut.

“Pendekatan yang saya ambil, selagi boleh jaga anak di rumah, kita cuba,” katanya selepas sidang akhbar Asli Battle of the Bands baru-baru ini.

Kaka yang baru melahirkan anak ketiganya, Atta pada 19 Jun lalu tidak merasakan statusnya bergelar seorang ibu membuatkan kerjaya seninya merudum.

“Suami saya sangat memahami kerjaya saya, dia pun tak minta saya berhenti daripada industri.

“Bernyanyi mengisi jiwa saya. Kalau nak gembirakan anak, kita kena gembirakan diri dahulu.

“Saya tak ambil ini (menjadi ibu) sebagai halangan. Keutamaan saya ialah anak, kerjaya saya adalah nombor dua namun tetap penting. Saya cuba seimbangkan perkara ini,” tambahnya yang sedang merancang untuk menghasilkan sebuah album.

Berkongsi perkembangan terkini, Kaka bakal tampil memeriahkan persembahan tarian kebudayaan Orang Asli juga akan dipersembahkan di malam kemuncak pertandingan Asli Battle of the Bands pada 22 September nanti.

“Saya tengok pertandingan ini sangat menarik. Orang asli ada banyak etnik, kita boleh bayangkan penampilan mereka ada topeng dan pelbagai lagi. Berbeza daripada apa yang kita pernah tengok

“Bila saya tahu mereka ada lagu asli sendiri, mungkin bunyi atau rentak mereka boleh saya jadikan inspirasi untuk lagu-lagu akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN