PUTRAJAYA : Dalam usaha menyemarakkan lagi semangat perpaduan di kalangan rakyat, Kementerian Perpaduan Negara komited menganjurkan program Ini Warisan Kita menerusi khazanah warisan negara.
Menurut Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang, dengan tema Melestarikan Perpaduan, program ini dilihat sangat bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam membangun Malaysia Madani yang menerapkan elemen hormat menghormati serta menjadikan warisan sebagai salah platform pengukuhan perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini.
“Inisiatif Ini Warisan Kita adalah satu daripada pengisian utama dalam program flagship Kementerian iaitu Kembara Perpaduan Malaysia Madani.
“Selain dapat meningkatkan pengalaman ‘feel good factor’, program seumpama ini diyakini berupaya menyuntik semangat cinta kepada tanah air melalui penghayatan terhadap kepelbagaian khazanah yang kita warisi sejak turun temurun lagi,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui di Majlis Pelancaran Ini Warisan Kita yang berlangsung di sini, hari ini.
Selain itu, kata Aaron, bagi menggalakkan penglibatan lebih banyak pihak khususnya badan bukan kerajaan dan pertubuhan berdaftar untuk menyertai program ini, Kementerian turut menawarkan insentif berbentuk geran sehingga RM50,000 tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan.
Fokus utama pelaksanaan program di bawah insentif ini adalah meliputi bidang kepelbagaian etnik, bahasa, permainan tradisional, adat resam, makanan serta kesenian dan alat muzik tradisional.
Selain itu, Kementerian turut memperkenalkan beberapa inisiatif lain di bawah Ini Warisan Kita antaranya Hub-warisan yang menyediakan informasi komprehensif berbentuk penulisan, penerbitan dan video berkaitan khazanah warisan negara untuk dijadikan ‘one-stop centre’ rujukan orang awam.
Antara lain termasuk, Program Nostalgia Anak Kampung yang mengembalikan semula sukan tradisional rakyat untuk dijadikan aktiviti masyarakat kini khususnya dalam kalangan anak muda serta Program Magis Belantara dan Program Bahasa Kolokial.
Dalam pada itu, program yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 7 hingga 9 Julai 2023 ini menyaksikan masyarakat berpeluang untuk mempelajari dan menghayati sendiri kepelbagai warisan yang dibawakan khas kepada setiap pengunjung.
Antara pengisian utama program ini adalah pameran rumah etnik, persembahan kebudayaan, Panel “Moment of Unity”, pertandingan mencanting batik, dan pameran Reruai Agensi










