CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merekodkan kutipan cukai langsung tertinggi dalam sejarah sebanyak RM203.991 bilion pada tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kutipan itu yang pertama kali melepasi RM200 bilion, merupakan pencapaian terbaik, peningkatan sebanyak RM19.186 bilion atau 0.38 peratus daripada tahun
sebelumnya.
“Hasil daripada prestasi kutipan yang lebih kukuh itu, kerajaan telah dapat memperuntukkan tambahan dana bayaran balik cukai sebanyak RM11.4 bilion kepada pembayar cukai syarikat yang telah tertunggak, sekali gus menyelesaikan komitmen lampau secara lebih tersusun dan telus.
“Sesungguhnya sistem percukaian yang baik bukan sekadar cekap mengutip, tetapi juga adil dan saksama,” katanya pada Majlis Sambutan Hari LHDN Ke30 Tahun 2026 di sini, semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Anwar berkata, LHDN pada masa sama dituntut memperkukuh keupayaan analitik dan pendigitalan bagi mendepani dunia yang kini dilanda ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi
Menurutnya, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi perlu diperkasa untuk meningkatkan kecekapan mengurangkan ketirisan dan memudahkan pematuhan.
“Dalam masa yang sama, perkhidmatan kepada rakyat dan perniagaan mesti terus dipermudah, dipercepat dan diperkemas.
“Matlamatnya bukan sekadar kutipan cukai yang lebih tinggi, tetapi sistem percukaian yang lebih adil, telus dan diyakini,” katanya.
Beliau sekali lagi merakamkan penghargaan kepada warga LHDN kerana ulang tahun ke-30 ini bukan hanya perayaan pencapaian lalu, tetapi titik tolak untuk peranan yang lebih besar.
Jelasnya, cukai bukan sekadar kewajipan undang-undang sebaliknya ia amanah bersama yang membolehkan negara membiayai pendidikan, kesihatan, perlindungan sosial dan pembangunan.
“Justeru, hasil negara mesti diurus dengan amanah, integriti dan ketelusan,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri meminta majikan swasta agar mempertimbangkan aturan kerja fleksibel seperti dilaksanakan sektor awam termasuk melalui amalan Bekerja Dari Rumah (BDR).
Beliau berkata, perkara itu penting bagi mengurangkan penggunaan bahan api, meredakan tekanan kos, serta mengekalkan produktiviti dan moral tenaga kerja.
“Dalam menghadapi risiko tekanan kos, majikan juga wajar lebih anjal dan pragmatik dalam mengurus operasi,” katanya.
Anwar berkata, sektor swasta tidak boleh kekal selesa dengan kaedah lama dalam dunia yang telah berubah.
“Sebaliknya, inilah masanya untuk mempercepatkan peningkatan produktiviti, meningkatkan pelaburan dalam inovasi serta automasi, dan mencambah nilai tambah serta kemampanan,” katanya.
Katanya, kerajaan telah menyediakan kerangka Ekonomi MADANI serta dasar yang jelas untuk mengangkat martabat dan harakat negara.
Jelasnya lagi, sektor swasta mesti memanfaatkan sepenuhnya ruang dan peluang yang dibuka oleh ikhtiar reformasi ini.
“Segala aspirasi ini tidak akan menjadi nyata tanpa iltizam bersama untuk melaksanakannya dengan sepenuh jiwa,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, dunia sedang berdepan ketidaktentuan yang serius angkara konflik yang terus meruncing di Asia Barat dan ia telah mengancam kestabilan serantau.
“Kesannya kepada negara nyata jikalau krisis ini tidak dileraikan dalam masa terdekat, negara akan terdedah kepada kesan ekonomi yang lebih sistemik, umpamanya: kos logistik meningkat, tekanan harga terus memuncak, dan gangguan kepada sektor pembuatan,” katanya.
Katanya, keadaan ini menjadikan pengurusan hasil serta perbelanjaan negara lebih kritikal daripada sebelumnya.
Dalam saat mencabar ini, katanya, seluruh jentera kerajaan mesti memperkukuh tatakelola; setiap ringgit mesti dibelanjakan dengan berhemah, ruang ketirisan mesti ditutup dan usaha memperluas asas hasil serta meningkatkan pematuhan mesti dipergiat. – UTUSAN










