Kerajaan ambil pendekatan bersepadu hadapi ketidaktentuan global

Kerajaan ambil pendekatan bersepadu hadapi ketidaktentuan global

AKMAL Nasrullah Mohd. Nasir mengadakan lawatan ke Pengerang Integrated Complex (PIC) semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan terus memperkukuh asas ekonomi negara menerusi pendekatan bersepadu dalam sektor strategik, khususnya tenaga dan makanan, bagi menghadapi ketidaktentuan pasaran global.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan keselamatan tenaga, keterjaminan makanan dan daya tahan rantaian bekalan negara. 

“Langkah strategik ini dirangka berikutan suasana krisis bekalan global yang berpunca daripada ketidaktentuan geopolitik serta gangguan bekalan antarabangsa,” katanya.

Beliau mengadakan lawatan ke Pengerang Integrated Complex (PIC) dan All Cosmos Industries Sdn. Bhd. (ACI), yang memberi tumpuan kepada pengukuhan rantaian bekalan domestik, peningkatan kapasiti industri serta pengurangan kebergantungan kepada input import.

Lawatan itu turut meninjau kemajuan pembangunan hab biobahan api di Pengerang, yang selari dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara. 

Inisiatif tersebut dilihat mampu menyokong peralihan tenaga negara secara berperingkat serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dalam jangka panjang.

Dalam masa sama, keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) untuk memperluas penggunaan biodiesel B15 turut dilihat sebagai langkah pragmatik dalam memastikan kesinambungan bekalan tenaga, khususnya ketika pasaran global berdepan ketidaktentuan.

Sementara itu, Akmal berkata, lawatan ke ACI memberi fokus kepada usaha memperkukuh industri baja tempatan yang memainkan peranan penting dalam menjamin produktiviti sektor pertanian. 

“Antara cabaran utama yang dikenal pasti termasuk ketidaktentuan bekalan bahan mentah, peningkatan kos logistik serta tekanan harga input.

“Sehubungan itu, kerajaan menggalakkan pemain industri untuk mempelbagaikan sumber bahan mentah, meningkatkan kecekapan operasi serta memperluas kapasiti pengeluaran bagi memenuhi keperluan domestik yang semakin meningkat,” katanya.

 Selain itu, jelasnya, pengeluaran baja bio-organik turut diberi penekanan sebagai alternatif lebih mampan bagi mengurangkan kebergantungan kepada input import. 

“Pendekatan ini bukan sahaja membantu menstabilkan bekalan baja, malah menyokong amalan pertanian yang lebih lestari.

“Secara keseluruhannya, lawatan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh daya tahan ekonomi negara melalui pengoptimuman sumber tempatan, pemerkasaan industri strategik serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta, sekali gus memastikan bekalan tenaga dan makanan kekal terjamin,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN