PERSEPSI kononnya e-sukan bidang yang sia-sia akhirnya dipatahkan oleh Afrina Balqis Ibdhi Har Ali, 19, apabila pasukannya muncul juara di temasya Sukan SEA 2025. Lebih manis, ia merupakan emas pertama negara dalam saingan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) sejak acara itu diperkenalkan pada edisi 2019 di Filipina.
Teguran, sindiran guru jadi azimat
Walaupun bergelar atlet e-sukan sejak di bangku sekolah, tetapi kemampuan Afrina Balqis Ibdhi Har Ali, 19, sering dipandang sepi oleh segelintir guru.
Malah, penglibatannya dalam bidang ini turut dianggap sia-sia dan tidak mempunyai masa depan cerah.
Situasi itu mendorongnya untuk berdiam diri setiap kali berdepan sindiran mahupun teguran di sekolah.
Namun, semangat dan perjuangan remaja ini tidak pernah goyah untuk terus maju dalam e-sukan.
Tuah berpihak kepadanya apabila terpilih mewakili skuad kebangsaan dalam acara Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) di temasya Sukan SEA 2025 di Thailand.

Lebih membanggakan, pasukannya yang dibarisi Qurratul Ain Nurfarisha Nizam, Hanis Wahidah Dashuki, Queenie Lim dan Sharifah Alia Husna Syed Fakrrurozi berjaya menghadiahkan pingat emas pertama negara dalam acara tersebut.
“Saya mahu membuktikan yang tanggapan cikgu dan orang ramai terhadap e-sukan sebagai sia-sia serta membuang masa adalah salah.
“Meskipun hanya bermain permainan video, golongan seperti kami juga boleh berjaya dalam hidup jika ada keazaman dan dibimbing melalui saluran yang betul,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Misi anak bongsu daripada tiga beradik ini adalah untuk memburu kejuaraan di Kejohanan Piala Dunia E-Sukan (EWC) di Riyadh pada Julai depan.
Acara e-sukan terbesar di dunia itu menawarkan habuan bernilai lebih RM1 juta kepada pemenang.
Terdahulu, kata Afrina Balqis, penglibatannya dalam permainan video MLBB bermula sejak 2018.
Ketika itu, ia sekadar hobi untuk mengisi masa terluang selepas pulang dari sekolah.
Minatnya terus berkembang apabila mampu menguasai permainan itu dengan baik sehingga dilamar kelab Homegirls pada usia 14 tahun dan terkini bersama Navi.

“Saya tidak pernah terfikir yang hobi itu boleh bertukar menjadi kerjaya, asalnya main untuk suka-suka sahaja.
“Di peringkat awal, ahli keluarga kurang faham tetapi bila tengok hasil yang diperolehi daripada gaji dan hadiah kemenangan, mereka mula memberikan sokongan,” katanya.
Beliau tidak menafikan pendapatan bulanan yang diraih sebagai atlet e-sukan ketika ini adalah lumayan.
Jangan abai pelajaran
Dalam keseronokan bermain permainan video, Afrina Balqis mengingatkan golongan muda agar tidak sesekali mengabaikan pelajaran.
Ia penting supaya persepsi negatif terhadap komuniti e-sukan dapat segera dikikis.
“Saya tahu ramai di luar sana yang sanggup ponteng dan berhenti sekolah disebabkan obses dengan permainan video.
“Saya pun pernah berada dalam situasi itu sehingga terlupa makan, mandi dan sering tidur lewat setiap malam akibat terlalu leka bermain.
“Lama-kelamaan keluarga meletakkan syarat walau apa pun minat saya, tetapi perlulah menamatkan persekolahan hingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Sejak itu, beliau mula menyusun jadual agar masa lebih teratur antara pelajaran dan e-sukan.
Biarpun kurang menyerlah dalam akademik, tetapi Afrina Balqis bersyukur masih dapat membanggakan keluarga dengan pencapaian tertingginya dalam e-sukan.
Katanya, kini bukan lelaki sahaja yang mengungguli e-sukan, malah golongan wanita pun tidak kurang hebatnya.
“Sebab itu, saya selalu nasihatkan adik-adik dan pengikut saya, bermain game bukanlah sesuatu yang salah, tetapi kena pandai seimbangkan masa agar kedua-duanya seiring.
“Bagi yang bercita-cita untuk bergelar atlet, jangan cepat putus asa bila tewas kerana kekalahan sebahagian daripada proses pembelajaran.
“Sebaliknya, teruskan berlatih, perbaiki kelemahan dan tingkatkan prestasi dari semasa ke semasa,” katanya yang menjadikan Karl Gabriel Nepomuceno atau KarlTzy sebagai idola.
Jelasnya, atlet e-sukan MLBB dari Filipina itu diiktiraf sebagai jungler terbaik dunia dan pemain terhebat sepanjang zaman selepas memenangi Mid Season Cup (MSC) 2025.
Amal senaman tangan, lompat bintang
Setiap kali sebelum acara bermula, beliau mengamalkan senaman tangan sebagai rutin.
Ia penting bagi meningkatkan fleksibiliti dan mengekalkan prestasi tinggi selain mengelak kecederaan otot.

Selain regangan tangan, Afrina Balqis turut melakukan lompat bintang dan latihan pernafasan sebagai sebahagian rutin pemanas badan.
“Senaman itu dapat mengatasi kebas dan kekejangan otot sepanjang pertandingan berlangsung,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai sesi latihan atau scrim, katanya, ia dilakukan selama dua jam setiap hari dengan melibatkan empat perlawanan.
Scrim ialah perlawanan persahabatan berstruktur untuk meningkatkan kemahiran, strategi dan disiplin, menyerupai situasi kejohanan sebenar.
“Satu perlawanan mengambil masa kira-kira 30 minit dengan jumlah keseluruhan adalah dua jam.
“Latihan ini amat membantu persediaan fizikal dan mental atlet, sebelum pertandingan,” katanya.
Mahir bahasa isyarat
Selain tangkas menekan gajet, gerak tangannya juga ligat dalam berbahasa isyarat.
Kemahiran itu dipelajari kerana kedua ibu bapanya, Ibdhi Hal Ali Najeeb, 53, dan Siti Nur Aisyah Eng Abdullah, 49, merupakan orang kurang upaya kategori pekak dan bisu.
“Saya tidak belajar secara formal, ia dikuasai secara semula jadi melalui pemerhatian dan komunikasi harian dengan mereka.
“Sebelum ini mungkin tidak ramai tahu tentang kekurangan ibu bapa saya, sehinggalah mereka tengok kami ‘berbual’ di lapangan terbang ketika menyambut kepulangan saya dari Sukan SEA.
“Pingat emas ini adalah hadiah untuk mereka,” katanya.











