TAWAU: Lapan lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing ditemukan selamat di perairan Pulau Sipadan, Semporna semalam.
Kesemua mangsa berusia antara 31 hingga 53 tahun itu dilaporkan hilang di kawasan sekitar 22 batu nautika selatan muara Inderasabah berhampiran sempadan perairan Malaysia-Indonesia pada petang Ahad ditemukan pada pukul 5.35 petang semalam.
Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Maritim Tawau, Komander Maritim Amiludin Yenggah (gambar) berkata, kesemua mangsa keluar memancing di perairan Inderasabah pada pukul 7.19 pagi Ahad sebelum bot mereka naiki mengalami kerosakan enjin dan dihanyutkan.

Beliau berkata, selepas mengalami kerosakan enjin, kesemua mangsa terputus hubungan dan gagal dihubungi keluarga. Mangsa terdiri daripada tujuh lelaki tempatan dan seorang warga Thailand.
“Walau bagaimanapun, semalam salah seorang mangsa berjaya menghubungi pihak keselamatan semalam bagi memaklumkan lokasi bot.
“Maka, aset operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) digerakkan ke lokasi dinyatakan dan kesemua mangsa yang berada di bot berjaya diselamatkan dan di bawa ke Pos Maritim Inderasabah sebelum dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Amiludin berkata, operasi Carilamat diaktifkan pada pukul 10.15 pagi semalam selepas bot dinaiki lapan mangsa yang sepatutnya kembali pada Ahad gagal dihubungi anggota keluarga.
“Selepas menerima maklumat mengenai bot pemancing hilang, set bot peronda maritim yang berada dalam sektor operasi telah diaturgerak ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat dan mengesan kedudukan sebenar bot yang dilaporkan hilang.
“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut dibuka di Pos Maritim Inderasabah bagi mengumpul maklumat berkaitan mangsa yang terlibat. Pada masa sama, maklumat turut disalurkan kepada agensi keselamatan pihak Indonesia bagi memaklumkan berkaitan kejadian tersebut.
“Sebanyak empat aset telah diaturgerak pada hari pertama Op Carilamat membabitkan 50 anggota dengan keluasan kawasan pencarian sehingga 10 batu nautika persegi,” katanya.

Op Carilamat turut disertai oleh agensi keselamatan lain termasuk PDRM, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan komuniti setempat.
Jelas beliau, komuniti maritim diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca buruk semasa menjalankan aktiviti di laut. Penggunaan jaket keselamatan adalah penting bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.- UTUSAN










